2 beradik maut dalam kemalangan di Bentong

2 beradik maut dalam kemalangan di Bentong

Kemalangan dipercayai berlaku pada 3.20 pagi itu melibatkan sebuah keluarga yang dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Kelantan.

Kenderaan dinaiki keluarga terbabit terbabas ketika cuba memotong kenderaan lain berhampiran satu selekoh, kata polis.
PETALING JAYA:
Dua beradik maut manakala tiga yang lain termasuk ibu bapa mereka cedera apabila kereta dinaiki keluarga itu terbabas sebelum terbalik di KM44.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di Bentong awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada 3.20 pagi itu melibatkan sebuah keluarga yang dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Kelantan.

Kedua-dua Wafa Safia Mohd Hairy, 17, dan adiknya Adam Haiqal, 12, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibu bapa mereka, Mohd Hairy Ahmad dan Zuraini Zolkifli, kedua-duanya berusia 44 tahun, dilaporkan cedera manakala anak bongsu pasangan itu, Fahmi Eyman, 10, pula cedera parah di kepala.

Hairy, seorang pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang memandu Toyota Estima mengalami kecederaan pada tulang belakang, manakala Zuraini yang juga guru sekolah rendah retak tangan kanan.

Menurut Kamarulzaman, keluarga itu dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menghadiri majlis pertunangan sebelum kenderaan dinaiki mereka terbabas ketika cuba memotong kenderaan lain berhampiran satu selekoh.

“Keadaan jalan yang licin juga dipercayai menyebabkan pemandu berhadapan kesukaran mengawal kenderaan sebelum kereta itu berpusing beberapa kali sebelum terbalik,” katanya menurut laporan Bernama.

Kamarulzaman berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong bagi bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan selepas keputusan saringan Covid-19 diperoleh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.