
Lim berkata, dua Ketua Menteri pertama Sarawak sebelum ini, iaitu Stephen Kalong Ningkan dan Tawi Sli, adalah daripada etnik Dayak, bagaimanapun jawatan itu kini dilihat seolah-olah terlepas daripada tangan orang Dayak.
“Bilakah seorang Dayak akan dapat menjadi Ketua Menteri Sarawak sekali lagi? Tiada siapa pun yang tahu. Tetapi setakat ini, perkara ini kelihatan seperti satu cita-cita yang mustahil dicapai.
“Sarawak kelihatan seperti sudah terkebelakang dalam arah yang bertentangan sehingga impian untuk seorang Dayak menjadi Ketua Menteri dalam masa 50 tahun kelihatan seperti suatu perkara yang mustahil,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, “fajar baharu” bagi Sarawak akan menyaksikan pemulihan hak negeri untuk peruntukan kewangan saksama, autonomi pendidikan dan kesihatan, bahagian hak minyak yang adil dan dana pembangunan saksama.
Lim berkata, beliau terkejut dengan tahap kemiskinan dihadapi komuniti Dayak yang tidak sepatutnya berlaku hari ini jika hak dan kepentingan Sarawak dipelihara seperti diazamkan oleh tokoh penubuhan Malaysia 58 tahun lalu pada 1963.
Beliau bagaimanapun memuji kelulusan pindaan perlembagaan semalam untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetapi berkata, ia hanya langkah pertama dalam memulihkan hak rakyat Sarawak yang telah lama terhakis.