Sayuran segar ‘dari ladang ke meja’

Sayuran segar ‘dari ladang ke meja’

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membimbing dan memberi sokongan kepada petani untuk menjual produk mereka tanpa melalui orang tengah.

Hasil tanaman kacang bendi yang sudah masak sedia dipetik Yogeswaran Letchmanan untuk dibawa ke pusat pengumpulan.
AYER KEROH:
Sebelum matahari terbit lagi, Yogeswaran Letchmanan sudah bersiap sedia menuju ke ladangnya di Bukit Katil, Melaka. Setiap hari ada misi besar menantinya.

Hari ini, kacang bendi yang ditanamnya 50 hari lalu akan dituai dan menjelang malam, sayur-sayurannya akan tersedia di setiap rumah dan restoran sekitar Kuala Lumpur.

Konsep ‘farm-to-table’ (dari ladang ke meja) ini, yang semakin popular di seluruh dunia, direalisasi dan disokong oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Sebaik sahaja hasil tanaman sayur-sayuran itu sedia untuk dipetik, Yogeswaran menghantarnya ke pusat pengumpulan yang dikendalikan oleh FAMA.

Sayur yang siap dipetik dari ladang akan diasingkan mengikut gred.

Sayur-sayuran di situ akan diasingkan berdasarkan dua gred, gred premium dan gred I, mengikut panjang dan saiznya.

Proses itu mengambil masa kira-kira 15 minit, di mana FAMA kemudian akan membayar Yogeswaran mengikut perjanjian yang ditandatanganinya dengan agensi itu ketika beliau mula menanam.

Di bawah perjanjian itu, FAMA membantu Yogeswaran mengangkut hasil tanamannya ke pasar tempatan, memastikan sayur-sayuran itu sampai ke pasaran.

Di salah sebuah pasar tempatan, yang dikenali sebagai Agrobazaar Rakyat, Timbalan Pengarah FAMA Melaka Amir Azlan Jamil berkata tujuan agensi itu adalah untuk membantu menghapuskan sistem orang tengah yang mengganggu hasil pendapatan petani.

“Ini juga membolehkan pengguna membeli sayur-sayuran pada harga yang lebih rendah, yang membantu mengurangkan kos sara hidup mereka. Pada masa sama, apabila tiada orang tengah, petani kecil seperti Yogeswaran boleh menyimpan semua keuntungan mereka,” katanya.

Yogeswaran Letchmanan dan pegawai FAMA menandatangani perjanjian jual beli hasil tanaman segar dari ladang.

Tambah Amir, semua sayur-sayuran yang dibawa terus dari ladang ke pasar berkenaan dijamin segar.

Selain membantu petani menjual produk mereka ke pasaran tempatan, FAMA juga membantu mereka dari segi memproses dan mengeksport produk mereka ke negara lain. Sehingga kini, ia telah menubuhkan 16 pusat pemprosesan, di mana 12 adalah untuk buah-buahan sejuk beku dan empat untuk buah-buahan segar.

Di pusat pemprosesan buah sejuk beku, buah-buahan seperti durian, nangka, jagung, cempedak dan mangga menjalani pemprosesan yang minimum.

Pusat pemprosesan buah-buahan segar pula membantu petani yang tidak mempunyai kilang menghasilkan produk makanan berkualiti yang mematuhi kehendak pasaran dan piawaian ditetapkan pihak berkuasa pelbagai negara.

Dari pusat pemprosesan itu, produk dihantar ke negara lain, seperti China dan Australia.

“Itu, pada dasarnya, adalah bagaimana petani dapat menggunakan sokongan dan bimbingan FAMA dalam melihat produk mereka yang segar dan berkhasiat bergerak dari ladang ke meja.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.