Mahkamah benar lelaki dituduh sabotaj bekalan air diikat jamin

Mahkamah benar lelaki dituduh sabotaj bekalan air diikat jamin

Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid memerintahkan R Nathan, yang ditahan reman selama kira-kira setahun, dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000.

R Nathan ketika hadir di mahkamah pada November tahun lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan seorang kontraktor, yang didakwa mensabotaj bekalan air di Selangor, dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan kesnya.

R Nathan ditahan reman selama kira-kira setahun kerana pertuduhan yang dihadapinya dianggap kesalahan keselamatan.

Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid, ketika membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berkata, beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Beliau turut mengarahkan Nathan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Peguam Harpal Singh mengemukakan laporan perubatan mengenai kesihatan Nathan yang semakin merosot untuk membebaskannya dari Penjara Sungai Buloh.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim bagaimanapun membantah permohonan ikat jamin yang dibuat mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Pada Ogos, Mahkamah Rayuan, dalam satu keputusan penting, memutuskan pertuduhan terhadap Nathan bukanlah kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA).

Hakim Suraya Othman, Abu Bakar Jais dan See Mee Chun berkata, Nathan boleh memohon jaminan bawah CPC dalam keadaan khas.

Bagaimanapun, Nathan, 44, enggan diikat jamin kerana dia tidak memberikan sebarang bukti perubatan ketika itu.

Suraya bagaimanapun berkata, Nathan boleh memohon jaminan sekali lagi di Mahkamah Tinggi sekiranya syarat dipenuhi.

Pada November 2020, Nathan dan pengarah syarikat Lim Kian Aik, 42, dibicarakan atas pertuduhan dengan sengaja melakukan sabotaj untuk mengganggu bekalan air di Selangor di Taman Velox, Rawang, iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan.

Kedua-duanya berdepan penjara seumur hidup jika didapati bersalah.

Lim sudah pun diikat jamin RM50,000 kerana disahkan menghidap sindrom koronari akut.

Kedua-dua lelaki itu turut menghadapi lima pertuduhan lain di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar dan Akta Industri Perkhidmatan Air.

Nathan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjalankan aktiviti perniagaan di premis sama tanpa lesen.

Harpal yang dibantu Nadia Syaza berkata, Azhar turut membenarkan permohonan Nathan untuk menyatukan pertuduhan di Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan bersama di Mahkamah Tinggi.

Perbicaraan ditetapkan dari 1 Ogos hingga 30 Ogos tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.