
Pakar ekonomi, termasuk Carmelo Ferlito dan Geoffrey Williams berkata, lesen bank digital akan membolehkan syarikat mendapatkan pembiayaan mikro membabitkan pinjaman yang lebih kecil beserta syarat yang lebih sedikit berbanding pinjaman tradisional daripada bank.
Walaupun beberapa syarikat yang membida lesen itu termasuk penggiat biasa seperti bank, kerajaan negeri dan koperasi, terdapat juga muka baharu seperti firma teknologi dan lebih menarik, pengendali e-dagang.
Williams, seorang ahli akademik dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, akses lebih mudah kepada pembiayaan akan memberi manfaat besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro, yang merupakan 98% daripada semua perniagaan di negara ini.
“Akses kepada kemudahan pembiayaan kecil yang murah dapat membantu PKS sedia ada untuk bertahan dan berkembang atau membantu syarikat pemula baharu membuka langkah dengan modal untuk membeli stok pemula, inventori atau peralatan,” katanya.
Ferlito, yang mengetuai Pusat Pendidikan Pasaran berkata, pembiayaan mikro lebih mendapat tempat berbanding bantuan kerajaan dalam membangunkan komuniti yang kurang mendapat kemudahan.
“Bantuan mewujudkan kebergantungan. Ia tidak mewujudkan minda keusahawanan atau mendorong ke arah keusahawanan, tetapi hanya mewujudkan kebergantungan kewangan dan politik,” katanya.
Penggiat baharu, dimensi baharu
Sonia Kumari Selvarajan dari Universiti Malaya berkata, kemasukan penggiat baharu seperti platform e-dagang ke dalam perniagaan perbankan mampu memberi rangsangan kepada PKS mikro, khususnya perusahaan diterajui belia atau wanita yang biasanya kekurangan dana.
Katanya, kelebihan bank digital ialah lebih ramai orang boleh mendapatkan pinjaman. Tidak seperti bank konvensional yang menolak banyak permohonan, bank digital akan menggunakan mekanisme pemarkahan kredit alternatif dengan menggunakan data yang lebih bermakna.
“Perbankan digital juga akan memudahkan urusan perbankan (bagi usahawan kecil) kerana urus niaga, proses, penglibatan dan pengalamannya dipermudahkan dengan aplikasi mudah alih yang mesra pengguna.
“Orang ramai tidak perlu lagi menghabiskan masa setengah hari atau mengambil cuti untuk mengisi borang di cawangan (bank),” katanya.
Beliau berkata, operasi e-dagang seperti Shopee, Lazada dan syarikat lain seumpamanya sudah menyediakan ruang bagi perniagaan kecil atau PKS mikro untuk menawarkan produk mereka kepada orang ramai selain membantu menjana pendapatan.
“Digandingkan dengan perbankan digital, ia mampu bertindak sebagai pencetus perubahan (game-changer) yang sebenar dan membantu membentuk semula rangkuman kewangan di Malaysia, menangani keperluan segmen yang tidak diberi kemudahan dan kurang diberi perkhidmatan,” kata Sonia, yang bertugas di Jabatan Pengajian Pembangunan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi.
Tambahnya, platform seperti Shopee akan dapat mengurangkan birokrasi penilaian kredit konvensional apabila menilai keupayaan bayaran balik kerana jutaan PKS sudah sedia aktif berurus niaga di platformnya dan meninggalkan jejak kewangan digital.
Katanya, inisiatif kewangan yang lebih inklusif penting untuk membantu mengurangkan kemiskinan dan membina ekuiti serta peluang lebih besar.
“Ia bukan sahaja memberi peluang kepada segmen yang kurang mendapat perkhidmatan untuk mencipta peluang pendapatan bagi diri mereka sendiri, tetapi perniagaan mereka yang semakin berkembang juga akan menyediakan peluang pekerjaan dalam komuniti.”
Sonia berkata, pemohon lesen perbankan digital perlu menunjukkan keupayaan untuk memperkasakan PKS melalui pendigitalan dan mempunyai rekod prestasi yang baik dalam industri e-dagang atau teknologi.
Kemasukan platform e-dagang ke ruang perbankan digital bukanlah satu konsep yang asing. Di Singapura, syarikat induk Shopee, Sea Limited menawarkan perkhidmatan perbankan digital, manakala syarikat lain seperti Walmart, Alibaba dan Rakuten turut menceburi bidang teknologi kewangan (fintech).