
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata kes baharu itu membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang menetap bersama keluarganya di Lagos, Nigeria.
Menurut Khairy, pesakit yang baru dikesan itu tidak mempunyai gejala dan kini sedang menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.
“Keputusan ujian RT-PCR Covid-19 ke atas kes sebelum berlepas ke Malaysia adalah negatif. Kanak-kanak ini tiba di Malaysia bersama ibu dan adik perempuannya pada 5 Dis dari Lagos, Nigeria dengan penerbangan transit di Doha, Qatar.
“Kes dan ahli keluarganya telah menjalani ujian RT-PCR Covid-19 semasa ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 18 kes kemungkinan varian Omicron dikesan di negara ini dalam kalangan pengembara yang pulang dari luar negara.
Katanya, 18 kes kemungkinan varian Omicron itu dikesan hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) membabitkan 52 sampel.
Menurut Khairy, keputusan mengenai perkara itu bagaimanapun akan diketahui esok.
“IMR menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 52 sampel daripada 52 kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara yang pulang dari luar negara bagi tempoh 6 sehingga 10 Dis lalu.
“KKM ingin memaklumkan bahawa hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan, sebanyak 18 kes menunjukkan kemungkinan varian Omicron dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada WGS,” katanya.