
Arafat didapati tidak mengendahkan arahan Timbalan Speaker, Khalil Yahya supaya duduk dan terus mencelah penggulungan yang dibuat Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Abdul Yunus Jamahri.
Harian Metro melaporkan, ADUN Hulu Kinta itu berterusan mendesak Abdul Yunus mengemukakan jawapan lisan serta membuat permohonan maaf terbuka kepada rakyat yang menyaksikan sidang itu secara dalam talian mengenai isu kenaikan harga barangan mutakhir ini.
Susulan itu, Khalil mengarah Bentara Dewan menutup pembesar suara di tempat duduk Arafat.
Khalil pada mulanya memberikan kata dua sama ada Arafat keluar dewan atau terus kekal di tempat duduknya bagi memberi laluan kepada penggulungan seterusnya oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan Perak, Nolee Ashilin Mohamed Radzi.
Bagaimanapun ketika Nolee Ashilin membuat penggulungan, Muhamad Arafat kembali bangun mencelah namun tidak dibenarkan oleh Khalil.
Arafat kemudiannya membuat keputusan untuk keluar dengan diiringi Bentara Dewan kira-kira jam 4 petang.
Pada Selasa, ADUN PKR itu mencuri tumpuan apabila memegang ayam segar ketika berbahas sebagai ‘gimik’ untuk mengulas isu kenaikan harga barangan terutama ayam segar.
Katanya, ayam itu sebagai ‘hadiah’ kepada Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria yang juga ADUN Semanggol.