
Ketua Pegawai Eksekutifnya Patrick Gelsinger berkata, pelaburan tambahan di negara ini turut melibatkan pengembangan kemudahan ujian pemasangan pembuatan sedia ada selain membangunkan prosedur “die prep” atau proses sebelum pemasangan dengan penambahan keupayaan pembungkusan lebih maju.
Syarikat itu juga merancang untuk mempunyai fasiliti baharu di negara ini bagi membolehkannya menambah jumlah pengeluaran serta meningkatkan kedudukannya dalam rantaian nilai pemindahan teknologi dan pembinaan kapasiti, katanya.
“Pembinaan bagi tujuan pengembangan baharu di Kulim dan Pulau Pinang sudah pun dimulakan. Kemudahan baharu yang menyokong teknologi maju pembungkusan itu dijangka mencatat pengeluaran pada 2024,” katanya pada sidang media mengumumkan pelaburan baharu tersebut di sini.
Turut hadir Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Arham Abdul Rahman.
Sementara itu, Azmin menyifatkan pelaburan Intel sebagai hasil kerjasama strategik jangka panjang syarikat itu dengan Malaysia selama 50 tahun manakala kemudahan bertaraf dunia itu akan turut meletakkan negara ini di barisan hadapan sektor semikonduktor dunia.
“Ini turut menjadi bukti keyakinan kukuh Intel terhadap Malaysia selaku hab pelaburan pilihan. Pada masa sama, ia juga menunjukkan peningkatan trajektori pemulihan ekonomi kita serta prospek cerah dari segi pertumbuhan yang memberangsangkan,” katanya.
Dalam pada itu, Gelsinger berkata, Intel juga komited untuk meneruskan pelaburan serta melakukan inovasi di negara ini dengan pelaburan baharu tersebut dijangka mewujudkan lebih 4,000 pekerjaan baharu selain lebih 5,000 pekerjaan binaan bagi rakyat tempatan.
“Kami bukannya pemburu, sebaliknya hadir di Malaysia untuk mewujudkan ekosistem, komuniti dan perkongsian dengan syarikat pemula niaga di sini bagi membangunkan keupayaan teknologi pasaran Malaysia secara menyeluruh,” katanya.
Gelsinger berkata, industri semikonduktor berkembang kira-kira 5% setahun dengan nilainya mencecah kira-kira USD500 bilion pada tempoh sebelum Covid-19, namun keadaan wabak telah menjejaskan rantaian bekalan.
Permintaan terhadap semikonduktor yang melonjak sehingga 200% tahun ke tahun berbanding rantaian bekalan yang telah terjejas itu sebaliknya telah mewujudkan jurang besar bekalan yang perlu ditampung, katanya.
“Saya menjangkakan kekangan dan kekurangan itu akan berterusan sehingga 2023 kerana usaha menghasilkan bekalan serta membina kemudahan baharu akan memakan masa yang lama.
“Malah, lebih banyak masa diperlukan bagi mewujudkan kapasiti terbabit serta memberi tindak balas terhadap usaha menangani (wabak),” katanya.
Menurutnya, usaha pengembangan di Malaysia adalah langkah penting dalam strategi menyeluruh syarikat bagi meningkatkan peluang kapasitinya.