
Chong berkata, PSB dilihat sebagai parti pembangkang yang lebih baik, berbanding Parti Bumi Kenyalang (PBK), selain parti pemerintah, Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Bagaimanapun, beliau menggesa pengundi kekal memilih PH di kawasan ditandinginya, dengan menyatakan parti itu sebagai pakatan lebih kuat, sekali gus menjamin tadbir urus lebih baik atau berperanan sebagai pembangkang yang kuat.
Chong yang juga Ketua DAP Sarawak berkata, PH tidak sepatutnya dihakimi melalui prestasi 22 bulan ketika ia berkuasa di Putrajaya, berbanding lebih 50 tahun Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri ini.
Beliau mendakwa, pakatan berkenaan tidak pernah mencuri atau mengambil sesen pun wang rakyat, berbanding pendahulu, sambil menggambarkan parti pemerintah itu sebagai perasuah.
“Rekod menunjukkan semua 42 Ahli Parlimen DAP kekal dengan prinsip parti walaupun kami berdepan pelbagai godaan. Parti ini mempunyai integriti dan prinsip,” katanya.
Sambil menyatakan rakyat Sarawak sepatutnya mengundi PSB sekiranya ketiadaan calon PH bertanding, Chong menyatakan kebimbangan jika PSB menang di kerusi ditandingi, akan kembali beralih menyokong kerajaan selepas mengambil kira beberapa calon PSB berasal daripada GPS.
“Jika anda melihat semula sejarah (politik) di Sarawak, ia menunjukkan banyak parti tempatan tidak mempunyai stamina dan akhirnya kembali bergabung dengan parti pemerintah.
“Justeru, saya meramalkan PSB akan melalui jejak sama seperti mana yang berlaku kepada parti tempatan pada masa lalu,” katanya.
Chong berkata, mengundi PBK juga bukanlah pilihan tepat kerana gesaan untuk memerdekakan Sarawak dilihat sebagai tidak matang dan berlandaskan “alasan goyah”.
Penurunan kuasa
Sementara itu, calon Batu Kawah, Dr Kelvin Yii, berkata pelan tindakan menyeluruh termasuk garis masa penurunan kuasa perlu diperjelaskan, susulan pindaan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Yii menegaskan, menteri persekutuan daripada GPS dan kepimpinan negeri perlu benar-benar komited dan merumuskan “Pelan Tindakan Penurunan Kuasa” kepada Sarawak, di mana menggariskan pencapaian utama bagi tempoh lima ke 10 tahun akan datang, disusuli semakan pencapaian berkala.
“Untuk ke arah itu, kita boleh bermula menerusi penurunan kuasa bagi kesihatan dan pendidikan kepada Sarawak. Adalah menjadi keperluan memasukkan pendidikan dan kesihatan dalam senarai bersama di mana kebertanggungjawaban dikongsi antara persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah,” katanya.
Yii berkata, pembaharuan institusi seperti memperkukuh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, selain penubuhan jawatankuasa pilihan khas pelbagai parti juga menjadi keperluan bagi proses semak dan imbang yang lebih kuat, termasuk menjamin program serta projek kerajaan memberi manfaat penuh kepada rakyat negeri ini.