Ibu bapa masih teragak-agak dengan kelas bersemuka, kata pusat tuisyen

Ibu bapa masih teragak-agak dengan kelas bersemuka, kata pusat tuisyen

Takut akan Covid-19 dan ketidakupayaan mengawal interaksi anak dengan orang lain antara kebimbangan ibu bapa menghantar anak ke pusat tuisyen.

Pengurus beberapa pusat tuisyen berharap kelas secara bersemuka boleh dijalankan mulai tahun depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ibu bapa masih teragak-agak untuk menghantar anak mereka ke kelas bersemuka di pusat tuisyen, kata penyedia tuisyen.

Mereka berkata, sebahagian besar pelajar mereka memilih untuk menghadiri kelas dalam talian, walaupun sekolah dibuka semula Oktober lalu.

Ally Chan, pengarah akademik Edusmart Academy, percaya keengganan ibu bapa itu disebabkan pandemik Covid-19.

“Memandangkan pusat tuisyen menerima pelajar dari beberapa sekolah berbeza, ibu bapa bimbang siapa yang berinteraksi dengan anak mereka kerana takut dijangkiti Covid,” katanya.

Alice Chng, Ketua Pegawai Eksekutif Ace Tuition Group, bersetuju masih terdapat kebimbangan dalam kalangan ibu bapa tentang kelas bersemuka, dan 85% daripada kelas di pusatnya dijalankan dalam talian.

Walaupun kelas dalam talian kini menjadi norma, Chng mendapati peralihan kepada kelas dalam talian tahun lepas mencetuskan panik awal apabila sekatan mula dilaksanakan. “Guru perlu belajar cara menggunakan platform dalam talian, dan semua orang ragu-ragu tentang keberkesanan kelas maya.”

Pusat Tuisyen Kasturi yang turut mengambil pendekatan dalam talian, berjaya mengalihkan pelajar dan guru mereka kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran maya, meskipun timbul masalah pada mulanya.

Ia berharap dapat memulakan kelas bersemuka pada Feb 2022 memandangkan semua kakitangan dan guru tuisyen telah divaksin sepenuhnya.

“Kami merancang memulakan sebulan lebih awal daripada penggal persekolahan baharu supaya pelajar lebih bersedia menghadapi pelajaran harian mereka di sekolah,” katanya kepada FMT dalam kenyataan.

Chan dan Chng juga berharap dapat memulakan kelas bersemuka dalam beberapa bulan akan datang, tetapi ada manfaat dalam mengekalkan pendekatan hibrid kelas dalam talian dan bersemuka.

“Edusmart menerima pelajar dari seluruh negara. Kami tidak mahu berhenti mengajar pelajar di Pulau Pinang, Johor atau Melaka.

“Melalui kelas dalam talian, kami mempunyai pelajar dari Perak, Sabah dan Sarawak. Dengan sambungan internet, pelajar di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai pusat tuisyen mampu mendapat pendidikan terbaik,” kata Chng.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.