
Itu soalan yang membawa kepada terhasilnya video tular eksplorasi, Mohd Syafiqi Zakaria, 30, menjejaki punca air di Hutan Bukit Pantai, yang kemudiannya membentuk sungai seterusnya Air Terjun Teluk Mengkudu, Segari, Perak.
Kadang kala, punca air yang kecil itu membawa kepada fenomena kepala air, yang mampu meragut nyawa.
“Ada yang tanya, saya selalu pergi cari air terjun, pernah jumpa tak punca air mata air tu? Ada juga yang cakap mereka teringin nak tahu sungai tu, kat mana hujung dia. Kebetulan saya naik bukit di Segari.
“Bila kita tahu dimana hujung bukit dan atas bukit itu ada sungai, mudah untuk kita jumpa hujung sungainya. Bukit tu (Bukit Hutan Pantai) tak tinggi sangat dalam 400 meter saja dari aras tanah, jadi senang kita nak cari punca dia. Tak payahlah kita nak naik bukit berhari-hari,” katanya kepada FMT.
Video Syafiqi dan rakan-rakan meredah hutan mencari hulu air mendapat tontonan 600,000 di aplikasi TikTok dan hampir 15,000 tontonan di Youtube.
Video itu menunjukkan pencarian mereka berakhir dengan menjumpai air kecil yang hanya mengalir dari celahan akar pokok dan batuan.
Menurut Syafiqi, punca air sungai bukan hanya satu tetapi banyak. Punca yang banyak ini akan bercantum membentuk anak sungai dan membesar sehinggalah menjadi air terjun serta kepala air.
Perkongsian Syafiqi yang juga dikenali dengan jolokan Pemburu Air Terjun itu mendapat reaksi warganet yang pelbagai.
Bapa kepada seorang anak itu berkata, pada mulanya dia aktif memanjat bukit bermula akhir 2008, sehinggalah aktiviti itu menjadi terlalu biasa dan dilakukan ramai orang.

“Saya mula dengan ‘hiking’ tapi bila makin ramai ‘hiking’ dan jadi ‘mainstream’, saya mula cari aktiviti lain. Saya mula teroka air terjun pada 2014. Sebab jika ‘hiking’ lokasi yang samakan? Saya mula cari kawasan baru, yang tak diteroka orang lagi.
“Ada banyak air terjun yang tersembunyi yang masih belum diterokai orang ramai. Saya akan masuk hutan cari air terjun setiap hujung minggu. Keluarga saya faham dan memahami minat saya,” katanya.
Sehingga kini sudah beratus buah air terjun dijumpainya di Perak dan ada di antaranya ditularkan untuk dikunjungi orang awam.
“Khazanah alam kita banyak tapi orang tak tahu. Bila orang macam kami ni masuk ambil gambar dan muat naik dekat media sosial, orang baru tahu dan sedar rupanya Malaysia ini cantik.
“Orang Malaysia selalu agungkan negara luar contoh macam Indonesia, di Bali orang nak tengok budaya mereka, di Medan, mereka nak daki gunung Merapi, gunung Kerinci, air terjun dwi warna…sebenarnya dekat Malaysia pun ada juga,” katanya.
Syafiqi memberitahu kebanyakkan air terjun yang dijumpainya, jika diberikan peluang, boleh dijadikan Eko Pelancongan Alam Semula Jadi sekaligus membuka peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi masyarakat setempat.