
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berkata, langkah itu diambil susulan penemuan kes terbaharu penyakit demam babi Afrika (ASF) yang pertama daripada bangkai seekor babi hutan di Perak baru-baru ini.
Katanya, arahan itu tidak melibatkan babi liar dan berikutan itu, JPV telah mengaktifkan bilik gerakan penyakit.
“Sebarang kematian babi komersial wajib dilaporkan kepada JPV negeri atau talian khas Bilik Pengurusan Krisis Penyakit Haiwan, Ibu Pejabat di Putrajaya,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Agensi bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan itu menegaskan, mereka yang gagal berbuat demikian boleh dihukum mengikut Akta Binatang (Pindaan 2013) merangkumi penternak, pengimport dan peniaga jika disabitkan kesalahan di mahkamah, boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000.
Meskipun virus ASF tidak berbahaya kepada manusia, penyakit itu amat senang berjangkit dan berupaya menyebabkan kematian dalam angka besar sehingga mengakibatkan kerugian.
“Bahkan sekatan perdagangan terhadap negara secara menyeluruh boleh dilaksanakan bagi mengekang penularan penyakit berkenaan daripada terus merebak,” katanya.
Penternak berskala kecil atau penternak babi kampung antara kumpulan sangat berisiko tinggi jika berdepan dengan pendedahan virus itu.
Justeru katanya, langkah biosekuriti baik yang diamalkan secara konsisten dalam bidang penternakan babi kecil-kecilan dan ladang mampu menyelamatkan jutaan ternakan itu.
Penyakit ASF ialah demam berdarah akut disebabkan serangan virus daripada famili “Asfar viridae” dan boleh menyebabkan kematian 100% dalam tempoh hanya dua hingga 10 hari.
Oktober lalu, kerajaan Sabah mengisytiharkan 22 daerah di negeri itu sebagai zon wabak selepas kes pertama mula pada 23 Feb di Pitas, Kudat, kemudian didapati berkembang pesat ke jirannya apabila kerajaan Sarawak pada 30 Ogos lalu mengisytiharkan tiga bahagian di negeri berkenaan sebagai kawasan kawalan kes ASF.