
Daripada jumlah peruntukan sebanyak RM332.1 bilion, RM233.5 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi, RM75.6 bilion untuk pembangunan dan RM23 bilion untuk Tabung Covid-19.
Ahli ekonomi daripada badan pemikir Bait Al-Amanah Benedict Weerasena berkata, “teras yang sangat penting” Bajet 2022 ialah ia adalah pemangkin kepada pembaharuan dengan perancangan untuk memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal tahun depan yang bertujuan meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan bagi mencapai kemampanan fiskal dan menyokong kestabilan makroekonomi.
“Saya fikir ini sangat penting untuk memastikan semua program dan rancangan dilaksanakan untuk mengoptimumkan setiap ringgit wang rakyat. Itulah cara ke hadapan selaras dengan piawaian antarabangsa,” katanya.
Weerasena juga berkata, kerajaan bekerjasama dengan Bank Dunia untuk menjalankan Kajian Perbelanjaan Awam bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan tanpa menjejaskan sistem penyampaian awam.
“Semua ini menunjukkan kerajaan lebih prihatin dengan melibatkan rakyat dan mendapatkan idea dan perspektif mereka mengenai perkara yang boleh diperbaiki,” kata Weerasena.
Beliau juga menekankan bagaimana langkah seperti peruntukan RM25 juta untuk anak yatim yang ibu bapanya meninggal dunia akibat Covid-19 bawah Yayasan Keluarga Malaysia menyumbang kepada keterangkuman Bajet 2022.
“Contoh lain termasuk peruntukan RM70 juta untuk program kesihatan mental dan kit kebersihan diri bulanan percuma untuk kira-kira 130,000 remaja perempuan daripada isi rumah B40.”
Dengan tumpuan keseluruhan kepada kebajikan rakyat, membangunkan semula perniagaan dan memacu pertumbuhan sosio-ekonomi, Weerasena berkata, Bajet 2022 berusaha untuk memastikan kesejahteraan rakyat dengan skim seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bernilai RM8.2 bilion yang dijangka memberi manfaat kepada 9.6 juta penerima.
Isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan yang mempunyai tiga atau lebih anak akan menerima bantuan tunai RM2,000 bawah skim BKM.
Selain itu, ibu atau bapa tunggal yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan juga bakal menerima RM500 manakala warga emas akan menerima RM300.
“Saya fikir satu perkara yang baik mengenai skim BKM adalah kerana ia mengambil kira saiz setiap isi rumah. Justeru mereka yang mempunyai lebih ramai tanggungan akan mendapat jumlah lebih tinggi, bukannya pendekatan satu saiz untuk semua,” kata Weerasena.
Sementara itu, pensyarah kanan di Universiti Malaya (UM) Goh Lim Thye berkata, matlamat utama Bajet 2022 ialah mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan melalui inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) bernilai RM4.8 bilion dengan memberi insentif kepada majikan yang menggaji pencari kerja terdiri ibu tunggal, suri rumah, wanita yang tidak bekerja lebih daripada 365 hari, Orang Asli, orang kurang upaya (OKU) dan bekas banduan.
Mengimbas bagaimana pertumbuhan ekonomi menguncup sebanyak 5.6% tahun lalu berbanding pengembangan 4.3% pada 2019, Goh berkata, kadar “inflasi yang sangat tinggi” tahun lalu juga menjadi kebimbangan kebanyakan rakyat Malaysia.
“Oleh itu, dari sudut tertentu, penciptaan pekerjaan baru harus mampu memberi keselesaan kepada sesetengah rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan mereka – dengan angka yang dilaporkan lebih daripada 700,000 orang,” katanya.
“Bajet 2022 juga menyasarkan pertumbuhan positif untuk rakyat Malaysia tahun depan. Oleh itu, kami berharap semua langkah, peruntukan, pakej rangsangan dan insentif yang ada akan dapat menangani isu-isu yang kita hadapi pada tahun 2020 dan 2021.