Askar enggan vaksin dipecat kerana ingkar arahan, kata Timbalan Panglima Tentera Darat

Askar enggan vaksin dipecat kerana ingkar arahan, kata Timbalan Panglima Tentera Darat

Kegagalan mematuhi arahan pihak atasan menjadi kesalahan bawah Akta Angkatan Tentera.

Wan Ramli Wan Seman memohon deklarasi mahkamah bahawa pemecatannya tidak sah dan terbatal.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas tentera berpangkat sarjan ditamatkan perkhidmatannya selepas enggan menerima vaksin Covid-19, seterusnya Perintah Tetap Angkatan Tentera, kata Timbalan Panglima Tentera Darat Mohammad Ab Rahman.

“Sebagai anggota tentera, pemohon perlu patuh kepada perintah tetap dan perintah yang sah yang dikeluarkan oleh pegawai atasan. Sebarang pelanggaran…adalah tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.

Mohammad berkata demikian dalam afidavit jawapan terhadap permohonan semakan kehakiman Wan Ramli Wan Seman yang difailkan pada September, iaitu selepas pemecatannya.

Wan Ramli, 39, menamakan Lt-Kol Sharull Hesham Md Yasin, Lt Mohamad Azammunir Mohd Ashri, Panglima Tentera Darat Jeneral Zamrose Mohd Zain, Angkatan Tentera Malaysia dan kerajaan sebagai responden.

Mohammad berkata, Wan Ramli telah dituduh dan dijatuhkan hukuman semasa Perbicaraan Terus kerana ingkar arahan pada 10 Julai, seterusnya ditamatkan perkhidmatannya. Katanya, kegagalan mematuhi perintah berkenaan menjadi kesalahan bawah Akta Angkatan Tentera 1972.

“Pandemik Covid-19 yang berlaku secara global telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Malaysia dan Tentera Darat Malaysia (TDM) secara khususnya turut terjejas dalam penularan wabak ini,” katanya dalam afidavit yang dilihat oleh FMT.

Katanya, TDM telah menetapkan supaya semua anggota yang tidak tergolong dalam kumpulan tidak layak menerima vaksin, diwajibkan untuk divaksin, dan tindakan tatatertib boleh diambil terhadap mereka yang mengingkari arahan itu.

Katanya, arahan itu telah dihebahkan kepada semua anggota perkhidmatan TDM pada 3 Mac, termasuk Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan, di mana Wan Ramli bertugas.

Mohammad berkata vaksinasi diwajibkan kerana anggota TDM hidup secara berkelompok dan melakukan tugasan harian secara berkumpulan, seterusnya penting untuk mencegah jangkitan dan kewujudan kluster dalam kalangan anggota

Mohammad berkata, pasukan tentera juga adalah petugas barisan hadapan malah askar sering berhubung dengan masyarakat.

Katanya, Wan Ramli telah beberapa kali diberi peluang untuk mematuhi arahan pengambilan vaksin malah sesi kaunseling turut diadakan pada awal Julai untuk tujuan itu, namun beliau tetap ingkar tanpa mengemukakan laporan perubatan atau bukti sokongan menunjukkan tidak layak mengambil vaksin itu.

Mohammad yang meminta permohonan Wan Ramli itu ditolak dengan kos berkata, beliau akhirnya memutuskan menamatkan perkhidmatan pemohon mengikut peruntukan undang-undang.

Selain itu, katanya, kelayakan pencen bukan hak mutlak kerana tertakluk kepada jumlah perkhidmatannya, iaitu tidak kurang daripada 21 tahun. Sebaliknya, Wan Ramli hanya berkhidmat 19 tahun setakat 26 Ogos 2021.

Wan Ramli memohon deklarasi bahawa pemecatannya pada 4 Ogos tidak sah dan terbatal selain tiada kesan. Beliau sepatutnya tamat perkhidmatan pada 20 Jan 2023.

Beliau dipecat berkaitan empat tuduhan di bawah Akta Angkatan Tentera. Disebabkan pemecatannya, beliau hilang hak untuk mendapat pencen bawah Perkara 147, iaitu hak yang dilindungi mengikut Perkara 13(1).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.