Padah pandu di lorong kecemasan, pemandu lori diburu polis

Padah pandu di lorong kecemasan, pemandu lori diburu polis

Sebuah lori tangki yang didapati memotong barisan dengan menggunakan lorong kecemasan seperti video yang tular di Facebook semalam.

Rakaman video tular menunjukkan sebuah lori tangki memotong barisan menggunakan laluan kecemasan di Kilometer 27-28 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson.
PETALING JAYA:
Pihak polis meminta pemandu sebuah lori tangki yang didapati memotong barisan dengan menggunakan lorong kecemasan seperti video yang tular di Facebook semalam untuk tampil ke Balai Trafik Port Dickson bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Aidi Sham Mohamed berkata,kejadian dipercayai berlaku antara 2 hingga 4 petang, Sabtu lalu di Kilometer 27-28 Lebuhraya Seremban Port Dickson.

“Lori tangki itu dari arah Seremban ke Port Dickson dan semasa kejadian keadaan di lebuhraya sesak dengan kenderaan.

“Pihak polis telah mengesan lori tangki tersebut yang menggunakan nombor pendaftaran CEL 5916 yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat pengangkutan beralamat di Bukit Raja, Shah Alam di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam turut tular, video berdurasi 43 saat di media sosial “Port Dickson Area” menunjukkan aksi sembilan buah kenderaan memotong barisan dengan menggunakan lorong kecemasan.

Semua pemilik kenderaan ini juga dikehendaki hadir ke Balai Trafik Port Dickson untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan/Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.