Lagak marsyal di lampu isyarat: Lelaki dirakam percakapan

Lagak marsyal di lampu isyarat: Lelaki dirakam percakapan

Ini susulan laporan polis dibuat petang tadi selepas insiden konvoi melibatkan beberapa kenderaan di Pekan Sitiawan itu tular di Facebook.

Tangkap layar rakaman video yang menunjukkan sebuah kereta bertindak seperti pengiring atau marshal yang mengarahkan kenderaan lain memberi laluan kepada konvoi keretanya di persimpangan lampu isyarat di Sitiawan.
PETALING JAYA:
Polis telah merakam percakapan seorang lelaki yang dipercayai menunjukkan aksi sebagai seorang marsyal dengan mengarahkan kenderaan lain ke tepi dan berhenti untuk memberi laluan kepada konvoi kereta di lampu isyarat Pekan Sitiawan hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Chong Boo Khim berkata keterangan itu diambil berikutan laporan polis dibuat kira-kira pukul 2.29 petang tadi selepas insiden konvoi melibatkan beberapa kenderaan yang datang dari arah Seri Manjung hala Tokong India itu tular menerusi laman sosial Facebook.

“Susulan itu, lelaki berusia 29 tahun itu telah dirakam percakapan dan polis telah merampas sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna kelabu berjalur kuning,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata ujian saringan air kencing ke atas lelaki yang bekerja sebagai pemandu berkenaan mendapati dia negatif dadah dan siasatan lanjut sedang diteruskan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu galangan disebabkan kenderaan di jalan.

Terdahulu, kejadian dipercayai melibatkan beberapa kenderaan itu tular di laman sosial Facebook menggunakan nama Jusshairi Jauhhari dengan tajuk ‘Seperti polis mengarahkan kenderaan lain ke tepi dan berhenti untuk memberi laluan kepada konvoi mereka’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.