
Mangsa berusia 40 tahun itu dipercayai berkenalan dengan seorang lelaki warga asing pada Oktober lalu menerusi nombor telefon antarabangsa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam tempoh perkenalan tersebut, suspek memberi pautan aplikasi untuk mangsa memuat turun aplikasi pelaburan Bitcoin.
Kata beliau, mangsa memuat turun aplikasi tersebut dan memindahkan wang ke dalamnya.
“Mangsa juga diperdaya dengan memasukkan wang sebanyak RM1,000 ke dalam satu akaun yang diberi oleh suspek. Hasil daripada itu, mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak RM800.
“Sejak itu, mangsa mula yakin dengan kata-kata suspek dan memasukkan wang ke lapan akaun berbeza yang melibatkan 31 transaksi keseluruhan,” katanya menurut laporan Utusan Online, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa mula curiga ditipu apabila kesemua wang pelaburannya tidak lagi memperoleh keuntungan.
“Jangan mudah terpedaya dengan janji seseorang yang baru dikenali terutama di media sosial,” jelasnya.