Selepas ‘Ainsdale’ dan ‘Bangsar South’, apakah Pekan Nanas akan jadi ‘Pineappolis’, soal Kua Kia Soong

Selepas ‘Ainsdale’ dan ‘Bangsar South’, apakah Pekan Nanas akan jadi ‘Pineappolis’, soal Kua Kia Soong

Sejarah penjajahan British melahirkan pemikir dan pegawai daripada kelas pertengahan yang melihat "Barat" itu lebih baik dan "Putih" amat didambakan.

Seorang aktivis masyarakat menarik perhatian kepada papan tanda di sepanjang lebuh raya negara yang memaparkan nama-nama perbandaran baharu, membuatkan beliau rasa seolah-olah melewati bandar-bandar di AS.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis masyarakat mempersoalkan kenapa pihak berkuasa tempatan membenarkan nama Inggeris menggantikan nama tempatan untuk pelbagai projek pembangunan.

Kua Kia Soong, yang juga bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, menyoal sama ada amalan itu berpunca daripada penjajahan British yang melahirkan golongan pemikir dan pegawai daripada kelas pertengahan yang melihat “Barat” itu lebih baik dan “Putih” amat didambakan.

Beliau berkata, pemikiran seperti itu dalam kalangan mereka, secara sedar atau tidak, berkemungkinan menyumbang kepada masalah banyak tempat mempunyai nama Inggeris, walaupun negara sudah Merdeka 64 tahun.

Kua mengulas kritikan Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim baru-baru ini bahawa penggunaan bahasa Inggeris sebagai nama tempat berbanding bahasa Melayu sebagai “menjijikkan”.

“Saya tertanya-tanya apakah suatu hari nanti Pekan Nanas (di Pontian, Johor) akan bertukar nama menjadi ‘Pineappolis’,” kata Kua dalam surat kepada FMT.

Kua menarik perhatian kepada papan-papan tanda di sepanjang lebuh raya negara yang memaparkan nama-nama perbandaran baharu seperti “Ainsdale” atau “Southville”, membuatkan beliau berasa seolah-olah melewati bandar-bandar di AS.

“Betul kata Frantz Fanon bahawa jiwa pasca penjajahan kita dibelenggu kebudayaan Barat yang dominan,” tulisnya, merujuk kepada Frantz Omar Fanon, seorang ahli psikiatri dan ahli parti revolusi Algeria.

Penulisan Fanon banyak menumpukan kepada kesan penjajahan ke atas mental masyarakat yang dijajah, serta pemulihan keperibadian dan budaya.

“Adakah kita benar-benar tahu siapa ‘kita’? Bukankah sudah tiba masanya kita menuntut semula budaya dan warisan kita? Sudah tentu, penggunaan nama Barat memadam identiti kita dan mengukuhkan pandangan dunia si penjajah yang sarat dengan sifat perkauman.”

Kua mengakui jarang “senada” dengan Rais dalam isu-isu politik, namun bersetuju dengan tegurannya kali ini.

“Bayangkan anda membesar di Kampung Kerinchi dan sekarang terpaksa memberitahu kawan-kawan bahawa anda menetap di ‘Bangsar South’, yang kini sudah diningratkan dengan golongan ekspat dan pelancong.

“Apa pihak berkuasa tempatan tak boleh fikirkan nama lain dalam bahasa orang tempatan atau kekalkan nama yang bersejarah itu?”

Kua berkata, pribumi di serata dunia sudah memulakan gerakan memulihara dan menghidupkan budaya masing-masing kerana percaya langkah mengembalikan adat, bahasa dan nilai tempatan akan menyemai rasa bangga terhadap warisan, lalu melahirkan individu dan masyarakat yang sihat.

Begitu juga golongan pendatang yang turun-temurun mengajar anak-anak mereka supaya mencintai asal usul dengan menggalakkan penggunaan bahasa serta amalan nilai dan adat, tambahnya.

“Membina pengetahuan dan rasa bangga terhadap budaya sendiri boleh menguatkan kesihatan mental belia kita dan mempersiapkan mereka untuk menghadapi masalah perkauman, kebencian dan prejudis lain yang mungkin mereka hadapi terutama di luar negara.”

Bagaimanapun Kua menambah, “apabila melihat keadaan sekeliling kita, bukan sahaja nama tetapi ruang fizikal di mana-mana, semua pegawai perbandaran bukan sahaja perlu menyertai kursus rasa bangga terhadap sejarah dan budaya, tetapi juga tentang keindahan dan pemeliharaan alam.”

Sebelum ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz di Dewan Rakyat berkata, Kuala Lumpur sudah “hilang identiti” apabila semakin banyak nama bangunan dan perumahan adalah dalam bahasa Inggeris.

Nazri memberikan contoh beberapa projek hartanah seperti “Hampshire Residences” dan “Bangsar South”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.