Segera bentang Akta Perubahan Iklim, gesa bekas menteri

Segera bentang Akta Perubahan Iklim, gesa bekas menteri

Yeo Bee Yin berkata, kerajaan mesti mempunyai iltizam politik untuk menjayakan akta tersebut.

Jika rangka kerja undang-undang sekitar perubahan iklim diwujudkan, ia akan memberi kepastian kepada perniagaan, kata Yeo Bee Yin.
PETALING JAYA:
Seorang bekas menteri menggesa kerajaan menunjukkan iltizam politik dalam membentangkan Akta Perubahan Iklim.

“Pada pandangan saya, kerajaan harus menunjukkan lebih kesegeraan dalam menangani perkara ini,” kata bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin kepada FMT.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Selasa, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kementerian itu masih pada “peringkat awal” dalam membangunkan rangka kerja Akta Perubahan Iklim yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada 2025.

“Akta itu pastinya bukan keutamaan kerajaan sekarang. Kami (Pakatan Harapan) mahu lakukannya pada 2019, tetapi kemudian muncul Langkah Sheraton,” kata Yeo.

“Saya rasa menteri patut menetapkan tarikh akhir lebih awal untuk membentangkan perkara ini di Parlimen, mungkin penghujung 2023?

“Mereka sudah tahu ini telah berlarutan selama lebih setahun, tetapi ia boleh dilakukan dalam tempoh 24 bulan. Ia mungkin dapat dilakukan jika mereka ada iltizam politik. Menteri perlu mendesaknya.”

Pada Mei 2019 Yeo berkata, proses merumus dan membentangkan Akta Perubahan Iklim akan mengambil masa sekurang-kurangnya 24 bulan, sambil menambah, matlamat utamanya adalah untuk menginstitusikan tindakan perubahan iklim.

Kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun sebelumnya menyebut bahawa kesan perubahan iklim dalam konteks Malaysia akan merangkumi kenaikan paras laut, pengurangan hasil tanaman, kehilangan biodiversiti, hakisan pantai dan peningkatan intensiti banjir.

Ditulis oleh Haliza Abdul Rahman daripada Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, kajian itu juga menekankan risiko lain seperti kelunturan terumbu karang, peningkatan insiden penyakit, banjir pasang surut di kawasan pantai, penurunan ketersediaan air dan kemarau.

Awal tahun ini, Kumpulan Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia menekankan bagaimana perubahan iklim di Malaysia boleh memburukkan lagi kemiskinan dan ketidaksamaan disebabkan golongan berpendapatan rendah bergantung dari segi ekonomi kepada aktiviti yang dipengaruhi keadaan iklim seperti pertanian, perikanan dan sektor tidak formal dalam ekonomi bandar.

Menyatakan bahawa Akta Perubahan Iklim akan menjadi penting dalam memformalkan langkah mengurangkan dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim, Yeo berkata, akta itu juga harus menetapkan matlamat untuk meningkatkan pelaburan dalam industri hijau.

“Kita perlu lihat bagaimana untuk mengurangkan pelepasan karbon, tetapi pada masa yang sama turut menambah baik industri hijau dan mewujudkan pekerjaan,” kata Ahli Parlimen Bakri itu.

“Jika kita mewujudkan rangka kerja undang-undang sekitar perubahan iklim, ia akan memberi kepastian kepada perniagaan – dan akta itu juga akan berfungsi menjelaskan dasar.

“Akan ada dasar oleh kerajaan ini dan kerajaan itu dan semua itu boleh berubah dengan cepat. Namun apabila ada akta, semua ini boleh diinstitusikan. Lebih awal ia dilakukan, rakyat akan dapat lebih kejelasan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.