Parti pembangkang tak nampak ‘gambaran besar’, kata aktivis Sarawak

Parti pembangkang tak nampak ‘gambaran besar’, kata aktivis Sarawak

Peter John Jaban mempersoalkan motif banyak parti yang bertanding dalam PRN Sarawak.

Aktivis veteran Sarawak menggesa ahli politik turun padang dan mendidik orang ramai mengenai keperluan perubahan.
KUCHING:
Aktiviti berkempen bagi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12 sedang giat dijalankan dengan calon membuat kunjungan dan bendera berkibar di mana-mana, namun seorang aktivis veteran tidak merasakan kehangatannya.

Malah, Peter John Jaban, seorang aktivis Sarawak yang paling dikenali, berkata, beliau berasa “lapuk”.

“Banyak parti yang bertanding, bergaduh sesama sendiri. Mereka semua memainkan isu yang sama dan meletakkan calon yang tidak dikenali,” katanya kepada FMT.

Peter, yang juga Pengasas Saya Anak Sarawak (SAS), berkata, beliau didekati oleh beberapa parti di kedua-dua belah pihak untuk menjadi calon.

“Apabila saya lihat senarai beberapa calon yang dicadangkan parti-parti ini, saya mengenali segelintir daripada mereka. Mereka tidak berkait dengan perjuangan seperti yang didakwa oleh parti, jadi saya menolak,” katanya.

Aktivis veteran itu, yang pernah ditangkap dan disoal siasat berhubung demonstrasi yang dianjurkannya, mempersoalkan motif banyak parti yang bertanding dalam PRN.

“Saya kecewa parti-parti pembangkang nampaknya seperti lebih berminat meletakkan calon, berbanding melihat gambaran besarnya,” katanya.

“Jika kita mahu bantu rakyat Sarawak, tak perlu pergi ke Dewan Undangan Negeri. Turun padang dan didik orang ramai mengenai keperluan perubahan terlebih dahulu.”

Beliau berkata, rakyat di kawasan luar bandar masih kurang kesedaran mengenai hak Sarawak dan apa yang berlaku di negeri itu.

“Parti politik hanya aktif semasa pilihan raya. Di antaranya, apa yang mereka lakukan untuk rakyat?

“Jadi bagi saya, saya tidak berminat dengan pilihan raya ini kerana saya tidak nampak perubahan besar akan berlaku,” katanya.

Peter berkata, beliau berharap pengundi akan menilai rekod prestasi parti dan calon yang bertanding di kawasan mereka dan melaksanakan tanggungjawab dengan menolak pihak yang tidak bagus untuk negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.