Ramai berhimpun, MMA bidas sambutan 100 hari kerajaan

Ramai berhimpun, MMA bidas sambutan 100 hari kerajaan

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai dengan sinis berkata, meningkatkan jumlah kes Covid-19 mungkin menjadi salah satu matlamat pentadbiran Perdana Menteri bagi 100 hari akan datang.

Acara bagi memperingati 100 hari pertama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Jemaah Menterinya memegang jawatan diadakan selama empat hari dan menampilkan pelbagai program dan pameran untuk masyarakat umum.
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) membidas kerajaan atas penganjuran acara 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang mendapat kecaman setelah orang ramai berhimpun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

Acara bagi memperingati 100 hari pertama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Jemaah Menterinya memegang jawatan itu diadakan selama empat hari dan menampilkan pelbagai program dan pameran.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai dengan sinis berkata, berdasarkan jumlah besar orang ramai yang hadir, nampaknya “meningkatkan jumlah (kes) Covid-19 akan menjadi salah satu matlamat pentadbiran Ismail untuk 100 hari akan datang”.

“Nampaknya (usaha) menjana publisiti kini digiatkan walaupun kita masih melihat kedua-dua varian Delta dan Omicron di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

“Walaupun kita sedang mendorong (pengambilan) suntikan penggalak dalam usaha membendung wabak, ada segelintir orang yang bertanggungjawab dalam kerajaan nampaknya mahu wabak itu kekal.”

Koh berkata, amalan dwistandard jelas boleh dilihat apabila kerajaan memberi amaran terhadap perarakan sempena Thaipusam dan protes awam mengenai kenaikan harga makanan, namun ia sendiri menganjurkan perhimpunan besar-besaran.

“Ini seperti mengatakan bahawa virus itu memilih siapa yang dijangkiti,” katanya kepada FMT.

“Menteri Kesihatan dan kementerian sudah terbeban dalam menguruskan situasi semasa dengan Omicron menular di seluruh dunia. Jika kementerian lain tidak mempunyai matlamat yang sama mengenai perkara ini, ia tidak membantu.

“Nampaknya Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa berada dalam mod penyelamat kerana kurangnya kerjasama dalam kalangan kementerian.”

Semalam, Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah jurang politik mengkritik acara berkenaan setelah muncul gambar menunjukkan hadirin yang berhimpun tidak menghiraukan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal.

Menurut The Malaysian Insight, Menteri Sumber Manusia dan Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata, beliau akan bercakap dengan Perdana Menteri mengenai acara itu dan SOP bagi Thaipusam bulan depan.

“Jika acara ini boleh berlangsung, sudah pasti Thaipusam juga boleh berlangsung. Ini akan mengikut SOP yang ditetapkan,” beliau dilaporkan berkata.

“Ini (acara KLCC) disambut secara besar-besaran dan ia dihadiri lebih ramai orang daripada yang dijangka.

“Tiada penjarakan fizikal langsung kerana orang ramai memenuhi dewan dan mereka berdiri berdekatan.”

Bekas Menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad turut berkata, peristiwa itu “amat tidak bertanggungjawab dan dikesali”, menurut laporan Malaysiakini.

“Komitmen yang tidak bersungguh-sungguh untuk terus mematuhi SOP menunjukkan sifat sebenar kerajaan yang mengutamakan populariti dan tunjuk sokongan yang megah berbanding keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat.”

Malah sebelum acara itu diadakan, Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar membangkitkan kebimbangan mengenai amalan dwistandard susulan laporan bahawa perarakan pedati dan kavadi untuk Thaipusam dilarang.

“Baru-baru ini, kerajaan telah membenarkan acara besar yang melibatkan orang ramai malah menganjurkan sendiri acara sebegini.

“Justeru tidak wajar untuk membatalkan perarakan pedati (untuk Thaipusam),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.