Masa untuk orang Dayak sekali lagi jadi KM Sarawak, kata calon PSB

Masa untuk orang Dayak sekali lagi jadi KM Sarawak, kata calon PSB

Iana Akam berkata masyarakat Dayak memerlukan seseorang dengan keberanian untuk menyuarakan hak orang Sarawak dan golongan terpinggir.

Calon PSB, Iana Akam bertanding kerusi Serembu. (Gambar PSB)
KUCHING:
Sudah tiba masanya masyarakat Dayak bersatu dan melantik seorang Ketua Menteri Sarawak daripada kalangan mereka, kata calon Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Calon PSB di Serembu Iana Akam berkata, masyarakat Dayak memerlukan seseorang dengan keberanian untuk menyuarakan hak orang Sarawak dan golongan terpinggir.

“Inilah masa terbaik untuk semua Dayak bersatu melantik Ketua Menteri yang memiliki semua kualiti terbaik bagi memimpin Sarawak.

“Sudah tiba masanya menyerahkan semula kepimpinan kepada orang Dayak dan memberi mereka peluang menjadikan Sarawak hebat semula,” katanya dalam kenyataan.

Iana mengulas kenyataan Presiden PSB Wong Soon Koh bahawa parti itu akan menyokong calon Ketua Menteri Dayak.

Selain itu, Iana berkata golongan Bumiputera Sarawak terpinggir dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan dan ekonomi.

Beliau menggesa rakyat Sarawak meletakkan kepercayaan terhadap PSB demi memastikan Ketua Menteri Dayak yang kuat memimpin negeri.

Pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan pada 18 Dis, dengan pengundian awal berlangsung pada 14 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.