
Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang, Abdul Aziz Isa berkata, terlalu banyak penekanan diberi kepada jumlah graduan yang dihasilkan setiap tahun dan terlalu sedikit peluang mereka untuk bekerja.
“Sebagai contoh, kita mempunyai kekurangan Bumiputera dalam profesion perakaunan. Tetapi masalahnya bukan kekurangan graduan Bumiputera dalam bidang perakaunan. Kita ada banyak,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan tidak membimbing graduan mengenai langkah yang perlu dilakukan seterusnya, seperti mengambil peperiksaan “Association of Chartered Certified Accountants (ACCA)”.

Katanya, kekurangan kelayakan perakaunan profesional menyumbang kepada kegagalan graduan mendapatkan pekerjaan dalam perakaunan dan bidang berkaitan sekali gus mendorong mereka untuk meneruskan kerjaya dalam bidang lain.
Aziz juga menyentuh isu graduan kejuruteraan yang berakhir dalam sektor perbankan atau terpaksa bekerja sebagai ejen insurans dengan menyifatkan masa yang mereka habiskan untuk belajar sebagai pembaziran.
Katanya, sekiranya dipilih, beliau akan menangani isu itu dengan berusaha menambah baik kerjasama antara industri dan institusi pendidikan.
Felo Akademi Sains Malaysia Madeline Berma berkata, model ekonomi Sarawak masih intensif buruh manakala institusi pendidikan melahirkan graduan untuk ekonomi intensif teknologi dan berkemahiran tinggi.
Katanya, perkara itu tidak baik untuk ekonomi Sarawak kerana ia akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi dan membazirkan sumber manusia yang membawa kepada pengaliran keluar bakat dari negeri itu.
“Ia juga akan menjejaskan rancangan jangka panjang Sarawak untuk membangunkan bakat tempatan sambil menangani pengangguran dan penggunaan tenaga tidak penuh di negeri ini,” katanya kepada FMT.
“Perlu ada perubahan struktur dalam ekonomi negeri. Kerajaan negeri seterusnya perlu banyak melabur dalam industri pembuatan berteknologi dan berkemahiran tinggi.”