Henti tuntutan insurans tak adil, kerajaan diberitahu

Henti tuntutan insurans tak adil, kerajaan diberitahu

FOMCA menarik perhatian terhadap pemandu yang terpaksa membuat tuntutan daripada insurans sendiri dalam kemalangan walaupun pihak lain yang bersalah.

FOMCA berkata pemandu yang tidak mempunyai insurans kenderaan sah boleh terlepas begitu saja. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA:
Persekutuan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menarik perhatian terhadap pemandu yang terpaksa membuat tuntutan daripada insurans sendiri dalam kemalangan walaupun pihak lain yang bersalah.

CEO FOMCA, Saravanan Thambirajah berkata sekiranya dua kereta berlanggar, kedua-dua pihak mesti membuat laporan polis.

Namun beliau berkata, lazimnya hanya satu pihak membuat laporan polis manakala satu lagi tidak, seterusnya boleh terlepas daripada dikesan.

“Hanya jika pelaku itu membuat laporan polis, barulah mangsa boleh menuntut insurans orang itu, jika tidak mereka terpaksa menggunakan insurans sendiri.

“Dalam keadaan itu, mangsa akan kehilangan bonus tanpa tuntutan (NCB) dan ini amatlah tidak adil. Kenapa mangsa perlu melalui kesusahan ini semata-mata kesilapan orang lain?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saravanan berkata, satu lagi isu penting melibatkan pemandu tanpa insurans kereta sah yang juga boleh terlepas daripada dipertanggungjawabkan.

Katanya, golongan itu boleh membaharui insurans tahunan tanpa dipertanggungjawabkan bagi tuntutan kemalangan terdahulu.

Saravanan berkata polis wajar mewujudkan agensi berasingan untuk mengendalikan kes kemalangan kerana berdepan ratusan kes seperti itu setiap hari.

Katanya, Bank Negara Malaysia selaku pengawal selia syarikat insurans juga perlu membetulkan keadaan ini dengan segera.

“Langkah tegas perlu diambil untuk mengekang keadaan ini sebelum lebih ramai pengguna jalan raya yang tidak bersalah menjadi mangsa kelopongan undang-undang dan pemandu yang tidak bertanggungjawab.

“Pesalah mesti dihukum, dan mangsa yang tidak berdosa perlu dilindungi menerusi insurans, tanpa kehilangan NCB.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.