15% kematian jalan raya babitkan warga emas, kata Wee

15% kematian jalan raya babitkan warga emas, kata Wee

Sebanyak 2,160,458 pemegang lesen CDL warga emas direkodkan ketika ini.

Statistik turut mengambil kira pemegang lesen CDL yang mempunyai pelbagai kelas lesen, contohnya memiliki Lesen Memandu Kelas B2 dan D secara bersekali, menurut Wee Ka Siong.
PETALING JAYA:
Sebanyak 3,693 kematian atau 15% daripada 23,825 jumlah kematian di jalan raya yang direkodkan bagi tempoh 2017 hingga Okt tahun ini, membabitkan pemandu berumur 60 tahun ke atas, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Ketika menjawab soalan Fasiah Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam), Wee berkata, jumlah pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) bagi Kelas B, B1, B2 dan D untuk warga emas menerusi sistem mySIKAP JPJ berjumlah 2,160,458 orang.

Katanya, statistik ini turut mengambil kira pemegang lesen CDL yang mempunyai pelbagai kelas lesen, contohnya memiliki Lesen Memandu Kelas B2 dan D secara bersekali.

“Mengikut pecahan kelas lesen pula, sebanyak 1,355,208 adalah pemegang lesen memandu motosikal (Kelas B, B1 dan B2) manakala 1,951,204 adalah bagi motokar (Kelas D dan DA),” katanya menerusi jawapan yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen.

Fasiah meminta kerajaan menyatakan bilangan pemegang lesen CDL bagi warga emas dan jumlah kes kemalangan membabitkan kematian pemandu warga emas bagi tempoh lima tahun bermula 2017.

Pada Sept lalu, Wee menegaskan, langkah menarik balik atau mengehadkan lesen memandu bagi pemandu berusia 70 tahun ke atas akan menjadi pilihan terakhir, selepas individu dalam kumpulan itu didapati tiada keupayaan memandu.

Beliau mengulas cadangan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias untuk mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas susulan trend peningkatan kemalangan jalan raya membabitkan golongan berusia.

Azisman menyarankan kerajaan memperkenalkan sistem penilaian untuk menilai kemampuan warga emas sebelum membenarkan mereka memperbaharui lesen memandu atau menunggang motosikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.