Tubuh agensi tangani perubahan iklim, gesa aktivis

Tubuh agensi tangani perubahan iklim, gesa aktivis

SAM dan ECOMY mencadangkan pendekatan yang akan melibatkan sektor perhutanan, air, hidupan liar, pengangkutan, tenaga dan pendidikan.

Kerajaan mengumumkan lebih banyak sistem amaran awal akan dipasang di kawasan yang cenderung dilanda tanah runtuh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua kumpulan aktivis alam sekitar menggesa agar sebuah agensi kerajaan merentas sektor ditubuhkan bagi menangani perubahan iklim serta kejadian tanah runtuh dan banjir kilat.

Jurucakap Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Ekopelancongan & Konservasi Malaysia (ECOMY) berkata, mereka akan mencadangkan pendekatan yang akan melibatkan sektor perhutanan, air, hidupan liar, pengangkutan, tenaga dan pendidikan.

Presiden SAM Meenakshi Raman berkata, kekurangan kejelasan semasa mengenai agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengendalikan sistem amaran awal adalah salah satu isu yang perlu diselesaikan.

“Tidak jelas sama ada tanggungjawab itu jatuh kepada agensi persekutuan seperti Jabatan Kerja Raya atau kerajaan negeri,” katanya kepada FMT.

“Memandangkan tanah runtuh kebanyakannya berlaku di kawasan tanah tinggi dan berbukit, ia berkaitan dengan isu tanah dan hutan, yang biasanya menjadi tanggungjawab kerajaan negeri.”

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan baru-baru ini berkata, lebih banyak sistem amaran awal akan dipasang di kawasan yang cenderung dilanda tanah runtuh. Ini susulan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan dua orang di Simpang Pulai, Perak.

Presiden ECOMY Andrew Sebastian mengalu-alukan pemasangan sistem amaran awal tambahan, tetapi berkata: “Kerajaan perlu menubuhkan agensi dan struktur mengenai perubahan iklim, meletakkan rangka kerja melalui Parlimen dan menyediakan peruntukan bajet yang sewajarnya.

“Ia harus melibatkan semua bentuk agensi kerajaan yang berkaitan dengan perubahan iklim, bermula dengan perancangan guna tanah, dasar tenaga dan juga sistem pendidikan.”

Meenakshi berkata, kerajaan perlu menjadikan perubahan iklim sebagai keutamaan dan mewujudkan sistem tadbir urus dan institusi yang betul di peringkat persekutuan bagi memastikan penglibatan semua pihak negeri dalam pelaksanaan tanggungjawab Malaysia bawah Perjanjian Iklim Paris untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Seorang lagi aktivis, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia Ahmad Ismail menggesa penggunaan kecerdasan buatan dan sistem robotik untuk memantau kualiti alam sekitar dan kemungkinan bahaya.

Beliau berkata, undang-undang diperlukan untuk menangani dan mengurus isu berkaitan perubahan iklim.

“Akta atau sistem perundangan mesti mempertimbangkan undang-undang dan peraturan sedia ada, dengan semua industri dan sektor berkaitan terlibat dan diselaraskan untuk keberkesanan yang lebih baik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.