Polis buru individu tular persenda, salah guna kemudahan OKU

Polis buru individu tular persenda, salah guna kemudahan OKU

Polis sedang memburu individu yang terbabit mempersendakan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi satu video tular.

Individu berkenaan mengajuk perbuatan seolah-olah mereka adalah OKU fizikal yang tempang dan bergelak ketawa, sambil membuat bunyi seperti beruk, kata Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai.
PETALING JAYA:
Polis sedang memburu individu yang terbabit mempersendakan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi satu video tular yang dimuat naik menerusi aplikasi Tik Tok.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai, berkata pihaknya menerima aduan berkenaan kes berkenaan dan menerusi hasil siasatan awal mendapati, pengadu menonton dua klip video memaparkan dua orang individu menyalah guna kemudahan OKU.

“Video pertama yang dimuat naik, telah dilakonkan oleh dua orang lelaki yang berlagak sebagai OKU dan mempersendakan tempat letak kereta OKU di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.

“Suspek juga didapati mengajuk perbuatan OKU selepas berjaya memarkir kenderaan mereka di tempat letak kereta OKU dan menggunakan bahasa kasar dan tidak sopan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, video kedua pula memaparkan dua wanita yang menyalahgunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak.

Katanya, mereka bertindak mengajuk perbuatan seolah-olah mereka adalah OKU fizikal yang tempang dan bergelak ketawa, sambil membuat bunyi seperti beruk.

Kes telah diklasifikasikan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia kerana kesalahan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dengan penggunaan media sosial secara tidak wajar.

“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang sedia ada akan diambil terhadap individu-individu yang melanggar undang-undang ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.