Polis beri amaran jangan hadir himpunan desak jemaah rapatkan saf

Polis beri amaran jangan hadir himpunan desak jemaah rapatkan saf

Mengikut video tular di media sosial, beberapa NGO mengajak orang ramai berhimpun di Masjid Al-Mustaghfirin Sungai Tiram, Bayan Lepas, selepas solat Jumaat.

Beberapa NGO mengajak orang ramai berhimpun di Masjid Al-Mustaghfirin Sungai Tiram, Bayan Lepas, selepas solat Jumaat esok bagi mendesak kerajaan membenarkan jemaah menunaikan solat dalam keadaan rapat saf. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis mengingatkan orang ramai tidak menyertai perhimpunan berhubung desakan supaya membenarkan jemaah menunaikan solat dalam keadaan saf rapat, di Masjid Al-Mustaghfirin Sungai Tiram, Bayan Lepas, selepas solat Jumaat, esok.

Peringatan itu dikeluarkan susulan video tular berdurasi 1 minit 44 saat di laman sosial, yang meminta orang ramai supaya hadir ke perhimpunan itu bagi mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) membenarkan jemaah menunaikan solat dalam keadaan saf rapat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Jafri Md Zain, berkata ia selaras prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara, berkaitan aktiviti jemaah masjid semasa tempoh pelan pemulihan negara (PPN) Fasa 4.

Katanya, ahli jawatankuasa masjid dan Pejabat Agama Islam Barat Daya juga sudah mengesahkan tidak memberi sebarang kebenaran bagi penganjuran perhimpunan itu.

“Polis ingin maklumkan bahawa tiada sebarang kebenaran diberi kepada mana-mana individu atau badan bukan kerajaan (NGO) berkumpul kerana ia melanggar peraturan dalam tempoh PPN Fasa 4.

“Sehubungan itu orang ramai diingatkan supaya tidak menyertai perhimpunan itu kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Tindakan boleh dikenakan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012; Akta Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit berjangkit (Pengkompaunan Kesalahan) (Pindaan) (No 11) 2021 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Menerusi video berkenaan, seorang individu yang mendakwa mewakili NGO, meminta orang ramai supaya hadir ke perhimpunan itu mengikut SOP ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.