‘Memalukan’ polis beri diskaun saman, kata Ahli Parlimen pembangkang

‘Memalukan’ polis beri diskaun saman, kata Ahli Parlimen pembangkang

Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham, berkata ada rakyat sudah langsaikan saman dengan nilai penuh sebelum ini.

Undang-undang ibarat “supermarket” kerana diskaun saman diberikan setiap tahun, kata Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang wakil rakyat pembangkang menyifatkan tindakan polis menawarkan pengurangan saman trafik terpilih sehingga 80%, bermula hari ini sehingga 12 Dis, merupakan satu perkara memalukan.

Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) turut menyifatkan, tindakan pemberian pengurangan saman meletakkan undang-undang ibarat “supermarket”, yang melakukan diskaun setiap tahun.

“Ini merupakan satu perkara yang amat memalukan kerana seolah undang-undang di negara ini macam supermarket bermusim-musim (ada diskaun).

“… mereka (rakyat) yang ikut undang-undang bayar saman ikut tarikh yang ditetapkan, kena bayar dengan penuh, tapi mereka yang tidak ikut undang-undang tidak perlu bayar penuh dan diberi diskaun sehingga 80%, ini merupakan satu penghinaan kepada kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, Ngeh mencadangkan kepada pihak polis supaya tidak ‘mengeluarkan’ saman, melainkan saman yang boleh ditangani secara berkesan demi memastikan pesalah melunaskan bayaran mengikut jumlah ditetapkan.

“Saya cadangkan polis jangan keluarkan apa-apa saman, melainkan saman yang mereka boleh laksanakan secara berkesan,sepatutnya saman dikeluarkan di tempat perlu sahaja bukannya di kampung-kampung serta tempat yang tidak mempunyai penduduk yang padat membabitkan kesalahan seperti had laju atau tidak pakai topi keledar,” katanya.

Terdahulu, polis menawarkan pengurangan saman trafik terpilih sehingga 80%, bermula hari ini sehingga 12 Disember.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Mat Kasim Karim, berkata diskaun tersebut diberikan sempena 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.