
Beliau berkata, ketika ini kerajaan dalam proses memindahkan syarikat MyHSR, yang bertanggungjawab atas urusan teknikal HSR, daripada pengawasan JPM kepada kementerian berkenaan.
“Pada masa ini, kerajaan dalam proses memindahkan syarikat MyHSR daripada pengawasan JPM kepada Kementerian Pengangkutan.
“Oleh demikian, segala perbincangan dan rundingan seterusnya mengenai hala tuju projek ini akan dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan,” katanya di Dewan Rakyat.
Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai sama ada projek HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru akan dibatalkan untuk diganti dengan cadangan memulihkan laluan HSR Kuala Lumpur-Singapura.
Menjelaskan perkara itu, Mustapa berkata, kajian mengenai laluan Kuala Lumpur-Johor Bahru yang bermula pada Februari telah siap dan dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Katanya, kajian itu mengemukakan tiga pilihan iaitu menangguhkan, membatalkan atau meminda model projek berkenaan.
“Selepas perjanjian pada 31 Dis 2016 terbatal (antara Malaysia dan Singapura), kerajaan berpendapat kemungkinan boleh laksanakan projek antara KL-JB. Apa pun, kajian semua dah siap. Jemaah Menteri akan buat keputusan sedikit masa lagi,” katanya.
Mustapa kemudian menegaskan cadangan Malaysia untuk memansuhkan Assets Company (AssetsCo) tidak diterima Singapura, menyebabkan perjanjian antara kedua-dua negara terbatal dan projek mega itu tidak dapat diteruskan.
“Bawah model HSR 2.0 baharu yang dikemukakan Malaysia kepada Singapura, Malaysia mencadangkan agar AssetsCo dimansuhkan, cadangan ini tidak dipersetujui oleh Singapura. Dengan itu, perjanjian ‘bilateral’ yang ditandatangani pada 13 Dis 2016 telah terbatal,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan rundingan secara terus akan dibuat selepas syarikat yang dikawal selia bersama Malaysia dan Singapura itu dimansuhkan.
“Ada mendakwa projek akan dilaksanakan secara rundingan terus, ini adalah tohmahan semata-mata. Mansuhkan AssetsCo tidak bermaksud projek ini dilaksanakan secara rundingan terus,” tegasnya.