
Akhbar bahasa Inggeris itu melaporkan Nasi Kandar Line Clear (Line Clear) dan satu restoran lain telah didenda kerana pencemaran silang dan pengendalian makanan secara tidak betul pada Februari lalu.
Bagaimanapun, restoran yang didenda oleh pegawai kesihatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang sebenarnya adalah Nasi Kandar Clear yang tidak mempunyai kaitan dengan Line Clear.
Syarikat induk akhbar The Star, Star Media Group Berhad (SMG) memohon membatalkan saman oleh Line Clear, itu atas alasan artikel berkenaan tidak merujuk kepada restoran itu, dan tidak bersifat fitnah.
Bagaimanapun, akhbar itu mengakui menerbitkan pada 21 Feb 2020, artikel di akhbarnya bertajuk “Famous Penang eateries fined”, yang turut menyebut kedai makan itu antara dua yang diarahkan tutup.
Pesuruhjaya Kehakiman Amarjeet Singh Serjeet Singh menolak permohonan SMG itu dengan memutuskan kes perlu dibicarakan disebabkan wujud fakta yang bercanggah.
Beliau kemudian menetapkan 5 Jan untuk pengurusan kes.
Menurut pernyataan tuntutan Line Clear, artikel itu mengakibatkannya mengalami kerugian, selain aib bahawa ia kononnya tidak bersih.
Plaintif mendakwa telah menghantar surat tuntutan maaf serta pampasan, namun tidak dilakukan akhbar itu.
Line Clear menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan selain relif lain dianggap sesuai oleh mahkamah.
Line Clear juga mahu mahkamah mengarahkan The Star menerbitkan permohonan maaf di muka surat hadapan akhbar itu.
Dalam pernyataan pembelaan, SMG berkata versi dalam talian berita itu telah segera diubah untuk membuang semua rujukan kepada Line Clear.
Katanya, dua lagi artikel diterbitkan turut mengandungi penjelasan oleh Abdul Latiff Ali iaitu pemilik Line Clear. Dalam artikel itu Latiff dipetik berkata “ramai yang keliru” dengan laporan bahawa Line Clear telah dikompaun, dan menegaskan ia tiada kaitan dengan Nasi Kandar Clear.