
Kampungnya menghadapi masalah mendapatkan bekalan air paip, walaupun banjir lazim berlaku dengan rumah-rumah ditenggelami setiap kali hujan lebat.
“Ada hari-harinya tiada air. Saya telah menghubungi pihak berkuasa tetapi tiada apa yang dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini. Saya juga terpaksa mendapatkan air tawar daripada sumber semula jadi,” katanya kepada FMT.
Suri rumah berusia 54 tahun itu berharap mana-mana pihak yang menang pada pilihan raya negeri (PRN) 18 Dis ini akan memenuhi keperluan kampungnya.
Jas, seorang petani berusia 65 tahun, berkata, tidak banyak yang dilakukan untuk membantu menyelesaikan isu banjir di Kampung Mambong.
“Baru-baru ini, 18 rumah terjejas teruk dan empat isi rumah masih belum mendapat bantuan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, wabak Covid-19 dan sekatan susulan juga menyebabkan ramai petani berhenti bekerja, tetapi wakil rakyat mereka tidak menawarkan sebarang bantuan.
Bagaimanapun, Ujita Muhammad, yang tinggal di kawasan pekan berkata, tiada masalah di kawasan itu memandangkan kemudahan sentiasa bertambah baik.
“Saya tiada masalah kerana saya tinggal di pekan Mambong. Saya dapat bekalan air, elektrik dan internet,” kata peniaga berusia 43 tahun itu.
Adeline Chin, 52, seorang peniaga yang juga tinggal di kawasan pekan, bersetuju dengan berkata, kawasan bandar semakin maju.
Beliau lebih gemar menyokong parti yang berpangkalan di Sarawak katanya, kerana percaya lebih mudah baginya untuk menyuarakan keluhan.

Sementara itu, calon DAP, Chang Hon Hiung berkata, lebih banyak tumpuan harus diberikan kepada kawasan luar bandar.
Katanya, beberapa kampung di Mambong masih tidak mendapat bekalan elektrik dan air, walaupun setelah 58 tahun Merdeka.
Walaupun kawasan itu kubu kuat Gabungan Parti Sarawak (GPS), beliau berharap rakyat memberi kepercayaan kepadanya untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Infrastruktur di kawasan luar bandar akan menjadi teras kempennya, kata Chang.
“Saya turun padang sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali setiap minggu sejak Mac 2020 dan saya harap penduduk Mambong dapat melihat bahawa saya ada di sini untuk mereka.”
Bagi PRN ke-12 ini, Chang berdepan saingan lima penjuru menentang penyandang Jerip Susil daripada GPS, Sanjan Daik daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Chong Siew Hung daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dan Joshua Roman daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Rakyat Sarawak akan keluar mengundi pada 18 Dis dengan pengundian awal dijadualkan pada 14 Dis.