Sindiket edar dadah guna kurier tumpas, polis rampas syabu RM10.2 juta

Sindiket edar dadah guna kurier tumpas, polis rampas syabu RM10.2 juta

Tiga belas individu daripada dua sindiket antarabangsa itu ditahan minggu lalu, dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier ke Sabah dan Sarawak serta Indonesia, Filipina dan Australia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Razarudin Husain (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan perkhidmatan kurier selepas menahan 13 individu warga tempatan dan merampas dadah jenis syabu dianggarkan 285.47kg bernilai RM10.2 juta, pada 29 dan 30 Nov lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Razarudin Husain, berkata semua suspek terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 53 tahun ditahan di sekitar ibu negara pada dua hari berkenaan.

Beliau berkata, semua suspek juga disyaki anggota dua sindiket berbeza dan dipercayai menjalankan aktiviti menyeludup dadah menggunakan perkhidmatan kurier ke Sabah dan Sarawak serta negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Australia.

“Hasil risikan polis, mendapati mereka menggunakan perkhidmatan kurier di Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Kuching, di sini.

“Mereka membungkus dadah ini dalam bungkusan teh dan juga diletakkan di dalam ‘hood dapur’ untuk dihantar menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya menurut laporan Bernama.

Menurutnya, 11 suspek mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah manakala empat daripadanya positif dadah jenis syabu.

Razarudin berkata, pihaknya menyita pelbagai aset daripada anggota sindiket berkenaan yang dianggarkan bernilai RM194,200 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Antara aset yang disita merupakan tiga kereta, tujuh utas barang kemas dan seutas jam tangan. Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan bernilai RM10.46 juta,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan dan akan membuat lebih banyak sitaan termasuk akaun bank dan rumah.

Menurut Razarudin, sindiket itu mula aktif sejak enam bulan lepas dan jumlah dadah yang dirampas daripada sindiket berkenaan mampu memenuhi keperluan 1.4 juta penagih dadah.

“Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua mereka direman selama 12 hari bermula 30 Nov lepas bagi membantu siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.