
Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail berkata, kompaun itu dikeluarkan selepas sekumpulan penyokong calon hadir ke pusat penamaan calon dan gagal mematuhi penjarakan fizikal.
“Bagi kesalahan itu, calon dikompaun RM4,000 mengikut Peraturan 10 Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit),” katanya menurut laporan The Borneo Post pada sidang media hari ini.
Walaupun tidak mendedahkan nama calon tersebut, namun portal itu menamakan individu berkenaan sebagai penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Ali Biju.
Aidi juga berkata, sehingga hari ini, polis telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau menambah, masih belum ada sebarang tangkapan atas kesalahan itu.
Terdahulu, Aidi menyaksikan demonstrasi Unit Ketenteraman Awam dan Rusuhan (PORU) dan Unit Kanon Air di Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak, di Batu Kawa.
Demonstrasi itu, katanya, adalah sebahagian daripada persediaan polis untuk menghadapi sebarang insiden yang tidak diingini semasa tempoh pilihan raya.
“Untuk pilihan raya ini, PGA Sarawak mempunyai empat unit PORU, dengan dua di Kuching manakala masing-masing satu di Sibu, dan Miri,” katanya.