
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin, memetik pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dan penyambungan semula aktiviti sosial dan rekreasi sebagai penyumbang utama pekerjaan kekal stabil pada Oktober, berdasarkan penemuan jabatan itu daripada tinjauan tenaga buruh.
“Ini digambarkan oleh bilangan guna tenaga yang lebih tinggi pada bulan tersebut, manakala pengangguran merekodkan trend penurunan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, trend peningkatan penduduk bekerja berterusan pada Oktober 2021 dengan mencatatkan pertambahan sebanyak 0.6% bulan ke bulan kepada 15.55 juta orang dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat sebanyak 0.3% kepada 65.8% pada Oktober.
Uzir berkata, bilangan penganggur menurun sebanyak 3.4%, dengan 705,000 penganggur direkodkan pada Oktober, berbanding 729,000 pada September.
“Daripada keseluruhan bilangan penganggur pada bulan berkenaan, 83.6% adalah penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan,” katanya.
Dari segi guna tenaga mengikut sektor ekonomi, bilangan pekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat, terutamanya dalam perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan.
Uzir menjangkakan, lebih banyak pemulihan ekonomi dalam beberapa bulan akan datang memandangkan rancangan pemulihan negara diteruskan dan dengan lebih ramai penduduk diberi vaksin.