
Menterinya Khairy Jamaluddin dipetik Bernama berkata setakat hari ini 90% remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 86.6% telah melengkapkan vaksinasi mereka, melangkaui sasaran 80% ditetapkan.
“Pada asalnya ada sedikit keengganan dalam kalangan ibu bapa yang mungkin risau dan takut kesan sampingan pada anak mereka tapi kita lihat program ini berjalan lancar.
“Remaja-remaja kita pun sangat bersemangat untuk menerima vaksin dan tahap pengetahuan mereka sangat tinggi tentang vaksin,” katanya dalam program Buletin Bernama terbitan Bernama TV hari ini sempena Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari, hari ini.
Beliau juga menasihati orang ramai mendapatkan dos penggalak terutama dengan kewujuan varian Omicron yang mempunyai kebolehjangkitan lebih tinggi daripada varian Delta. Katanya, setakat ini 3.2 juta dos penggalak telah diberikan.
Sementara itu, Khairy berkata setakat ini 100,000 pek PPC mengandungi empat kit ujian kendiri Covid-19, empat pelitup muka guna semula, masing-masing satu termometer dan oksimeter nadi serta risalah maklumat kesihatan telah dihantar kepada keluarga B40.
Katanya pakej itu akan terus diedarkan kepada keseluruhan 3.6 juta keluarga B40 dalam masa beberapa minggu akan datang.
“Ini adalah suatu idea yang sangat prihatin daripada Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) untuk bantu rakyat terutama keluarga B40 dalam fasa peralihan ke endemik di mana kita tahu, jika ada gejala dan jika positif, asingkan diri dan sentiasa pantau keadaan di rumah,” katanya.
Sementara itu, KKM juga berjaya mencapai sasaran pengurangan penggunaan katil Covid-19 untuk unit rawatan rapi (ICU) daripada 95% kepada bawah 70% dan katil bukan ICU daripada 80% kepada bawah 50%, pada 24 Sept lepas.
Khairy berkata secara keseluruhan, penggunaan katil untuk rawatan Covid-19 semakin menurun dengan penggunaan katil ICU kini pada paras 26% manakala bukan ICU pula 19%.
Namun disebabkan situasi Covid-19 yang dinamik, KKM akan terus melakukan pemantauan rapi.
Beliau berkata KKM juga telah berjaya mengurangkan kes kematian di luar hospital (BID) dengan meningkatkan sistem pemantauan kepada pesakit yang melakukan kuarantin kendiri serta meningkatkan kadar vaksinasi.