Isu minta rokok, duit dipercayai punca warga emas maut dipukul

Isu minta rokok, duit dipercayai punca warga emas maut dipukul

Polis berkata siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah dan kerap didatangi suspek yang ingin meminta rokok daripadanya.

Polis berkata suspek yang juga seorang penganggur ditahan tidak lama selepas itu dan mengakui terlibat dalam kejadian berkenaan.
KANGAR:
Seorang warga emas maut selepas dipercayai dipukul dengan batang cangkul dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Abi Tok Hashim, kira-kira 10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Wari Kiew, berkata mangsa Yeen Baai, 72, ditemui terbaring di hadapan pintu bilik rumah itu oleh adiknya yang tinggal tidak jauh dari rumah mangsa.

Wari berkata, selepas kejadian bunuh itu, adik mangsa didatangi seorang lelaki berusia 34 tahun yang dikenalinya.

“Adik mangsa memberitahu polis bahawa suspek yang dipercayai dalam keadaan mabuk ketika itu telah meminta untuk melihat keadaan mangsa kerana kepalanya berdarah.

“Saksi bersama lelaki itu kemudian pergi ke rumah mangsa yang jaraknya lebih kurang 30m dan memasuki rumah itu sebelum menemui mangsa terbaring dengan kesan darah di bahagian kepala,” katanya.

Beliau berkata, saksi turut melihat serpihan sebatang cangkul yang telah patah di sisi mangsa sebelum menghubungi polis.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah itu dan kerap didatangi suspek yang ingin meminta rokok daripadanya.

“Mangsa akan melayan suspek dan membenarkan suspek masuk ke rumah dan menghisap rokok bersama. Punca kejadian dipercayai disebabkan isu meminta rokok dan duit oleh suspek,” katanya.

Wari berkata, suspek yang juga penganggur ditahan tidak lama selepas itu dan mengakui terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau direman enam hari bermula hari ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.