
Profesor ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, ESN Bumiputera pada asasnya adalah dasar tindakan afirmatif untuk meningkatkan ekuiti Bumiputera.
“Nilai saham ditentukan oleh aliran tunai jangkaan masa depan syarikat dan kadangkala disebabkan manipulasi oleh spekulator, bukan oleh mereka yang memegangnya,” katanya.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini bahawa kerajaan sedang mengkaji semula mekanisme ESN untuk mencapai nilai ekuiti Bumiputera yang masih bawah sasaran 30%.

Ahamed berkata, cara terbaik untuk mencapai ekuiti Bumiputera adalah dengan meningkatkan kecelikan kewangan dalam kalangan Bumiputera melalui pendidikan dan pengalaman.
“Dengan kemahiran yang baik dalam pengurusan kewangan, ESN Bumiputera tidak lagi diperlukan,” katanya.
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, mudah untuk membuat kesimpulan bahawa menyekat pasaran akan menurunkan harga saham, tetapi dalam ESN Bumiputera, harga saham akan mencerminkan asas ekonomi.

“Dengan ESN, risiko pasaran berpotensi kurang dan ia boleh memberikan perlindungan dan kestabilan bagi pelabur bertanggungjawab jangka panjang,” katanya.
Mengenai dakwaan bahawa pemegang saham Bumiputera akan menjual saham mereka bagi mendapatkan keuntungan segera, Williams berkata, tiada bukti pasti bahawa kelakuan pelabur Bumiputera berbeza daripada yang lain apabila diberi peluang meraih keuntungan dalam pasaran konvensional.
“Hampir tiada rasional di sebalik matlamat untuk mencapai 30% ekuiti dan ia adalah sasaran arbitrari yang mudah terlepas,” katanya.