Dewan Rakyat: Status RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis dijangka dibangkit hari ini

Dewan Rakyat: Status RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis dijangka dibangkit hari ini

Selain itu, soalan lain yang dijadualkan dijawab membabitkan isu bekas pesakit yang mengalami 'long Covid' dan pembangunan generasi anak muda India.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Persoalan mengenai status Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) dijangka dibangkitkan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu diajukan oleh Salahuddin Ayub (PH-Pulai) kepada Menteri Dalam Negeri pada sesi soal jawab.

Turut dijangka menjadi tumpuan ialah pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) kepada Menteri Kesihatan mengenai langkah untuk memastikan bekas pesakit yang mengalami “long Covid” mendapat akses perubatan yang mencukupi.

Beliau juga ingin tahu sama ada Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai data mengenai bilangan pesakit yang mengalami “long Covid” melebihi 12 minggu setakat Oktober lepas.

Sebelum kedua-dua soalan berkenaan dikemukakan, Menteri Perpaduan Negara turut dijadual menjawab pertanyaan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bersatu-Bukit Gantang) mengenai komitmen kementerian itu terhadap pembangunan generasi anak muda India di Parlimen Bukit Gantang bawah seliaan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Selain itu, Fuziah Salleh (PH-Kuantan) mengajukan soalan kepada Menteri Belia dan Sukan mengenai sama ada atlet yang mewakili negara dalam pertandingan sukan luar negara akan mendapat gaji, elaun atau imbuhan yang sama antara lelaki dan wanita.

Fuziah juga meminta penjelasan berhubung jumlah yang diterima mengikut jantina dan kategori sukan yang dipertandingkan.

Selesai sesi itu, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan RUU Perbekalan 2022 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.