Berstatus ‘kontak kasual’ Covid-19, Rosmah dilarang hadir perbicaraan di mahkamah

Berstatus ‘kontak kasual’ Covid-19, Rosmah dilarang hadir perbicaraan di mahkamah

Hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan mengarahkan pasukan pembelaan menyemak dan mengemaskini status MySejahtera Rosmah pada Jumaat.

Rosmah Mansor hadir untuk perbicaraan rasuahnya hari ini, tetapi tidak dibenarkan memasuki pekarangan bangunan mahkamah kerana berstatus ‘kontak kasual’ di MySejahtera.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor hari ini dan esok selepas beliau mempunyai kontak dengan seorang pesakit Covid-19.

Peguam Rosmah, Jagjit Singh, berkata status anak guamnya di aplikasi MySejahtera adalah “kontak kasual” dan beliau tidak dibenarkan memasuki bangunan mahkamah.

“Beliau hadir hari ini, dan kami menyuruhnya berada di dalam kereta,” kata Jagjit.

Hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan berkata, prosedur operasi standard (SOP) mahkamah hanya membenarkan mereka yang berstatus “berisiko rendah” memasuki pekarangan bangunan.

“Walaupun saya mendesak untuk beliau masuk, pegawai di tingkat bawah boleh mengatasi keputusan saya,” katanya.

“Status boleh berubah. Ia mungkin oren atau kuning sekarang tetapi ia mungkin bertukar menjadi biru kemudian.”

Zaini kemudian mengarahkan pasukan pembelaan menyemak dan mengemaskini status MySejahtera Rosmah pada Jumaat.

“Jika statusnya ‘berisiko rendah’, kita akan teruskan,” katanya.

Rosmah sedang dibicarakan atas tiga tuduhan rasuah kerana didakwa meminta RM187.5 juta daripada ahli perniagaan Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan membantu syarikatnya, Jepak Holdings Sdn Bhd, mendapatkan projek panel solar untuk 369 sekolah di kawasan luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion, melalui rundingan langsung dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau juga dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Pendakwa raya ad hoc Gopal Sri Ram akan meneruskan pemeriksaan balasnya terhadap Rosmah apabila perbicaraan disambung semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.