PRN Sarawak: Lupa bawa pas, calon PBK nyaris terlepas bertanding

PRN Sarawak: Lupa bawa pas, calon PBK nyaris terlepas bertanding

Calon Parti Bumi Kenyalang Jenny Wong Khing Ling bernasib baik sempat pulang mengambil pas itu, dan memasuki dewan 15 minit sebelum proses pencalonan tamat.

Calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Jenny Wong Khing Ling berdepan detik cemas apabila terlupa membawa pas calon yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi membolehkannya memasuki Pusat Penamaan Calon (PPC). (Gambar Bernama)
BINTANGOR:
Calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Jenny Wong Khing Ling berdepan detik cemas apabila terlupa membawa pas calon yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkannya memasuki pusat penamaan calon (PPC).

Kegagalan beliau menunjukkan pas berkenaan menyebabkan calon wanita tunggal bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop itu tidak dibenarkan masuk ke Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Meradong yang dijadikan PPC pilihan raya negeri (PRN) ke-12, hari ini.

Bagaimanapun Jenny bernasib baik apabila sempat bergegas pulang ke rumah untuk mengambil pas itu dan akhirnya berjaya memasuki dewan 15 minit sebelum tempoh proses pencalonan tamat pada 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan.

Perebutan kerusi DUN Semop pada PRN kali ini menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Abdullah Saidol daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempertahankan kerusi DUN Semop untuk penggal ketiga, dicabar oleh Jenny, Abdul Raafidin Majidi (PSB), Mohamad Fadillah Sabali (Amanah) dan Mohd Adenan Zulkepli (Bebas).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Semop Badjuri Bidin mengumumkan senarai nama calon yang akan bertanding sejurus selepas proses penamaan calon tamat.

Hujan lebat sejak awal pagi tidak menghalang calon untuk berada awal di PPC bagi menyerahkan borang pencalonan masing-masing.

Mohamad Fadillah merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan sejurus proses penamaan bermula pada 9 pagi, diikuti Abdullah, Mohd Adenan, Abdul Raafidin dan Jenny.

Ketika PRN ke-11 pada 2016, Abdullah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional-Parti Pesaka Bumiputera (PBB) memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,412 undi dalam pertandingan satu lawan satu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.