
Menjawab soalan tambahan Nga Alor Ming (PH-Teluk Intan) di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah berkata, langkah itu bukan unik buat negara ini.
“Ini bukan sahaja amalan di Malaysia, tetapi ia juga amalan negara sekitar kita (jiran) dan antarabangsa,” katanya.
“Kita mematuhi konvensyen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengawal kenaikan harga ini.”
Terdahulu, Nga bertanya kepada kementerian itu mengenai rasional menguatkuasakan syarat perniagaan perlu mendapatkan lesen menjual bir ketika kedai kopi masih bergelut untuk pulih daripada kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
“Mulai bulan depan, Jabatan Kastam nak laksanakan peraturan dasar baru, semua kedai kopi yang jual bir kena memohon lesen asing. Jadi, satu kedai kopi nak bayar berapa lesen?” soalnya.
Beliau berkata, setiap satu lesen berharga RM1,340, bermakna kos tambahan akan dikenakan kepada pelanggan dan menambah lagi isu kenaikan harga barang.
“Kita ada jawatankuasa pemudah tapi buat apa ada lagi birokrasi yang berlebihan yang akhirnya rakyat akan menerima padah,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan mulai tahun depan, kedai kopi dan restoran mesti memohon lesen arak jika mereka mahu meneruskan penjualan bir.