
Mangsa berusia 73 tahun disahkan meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian badan serta turut dipijak anaknya yang berusia 48 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam kejadian itu, suspek dikatakan hilang kawalan sebelum mengamuk dan memukul mangsa.
Katanya, suspek dikatakan sudah lama tidak mengambil ubat penenang menyebabkan tingkah lakunya sukar dikawal sehingga bertindak mencederakan mangsa.
“Polis yang menerima maklumat kemudian tiba di lokasi dan mendapati mangsa dalam keadaan terbaring berlumuran darah terutama di bahagian muka termasuk kesan luka akibat torehan pisau di beberapa bahagian badan.
“Mangsa cedera teruk di muka dipercayai dipijak bertubi-tubi oleh suspek. Mangsa juga cedera di bahagian dada dan kedua-dua belah tangan,” katanya menurut laporan Kosmo.
Jelas beliau lagi, bedah siasat mendapati mangsa maut akibat cedera parah di muka dan retak di bahagian tengkorak.
“Mangsa yang juga menghidap anemia dan sawan itu kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.