Proses vaksinasi ‘bercelaru’, Ahli Parlimen DAP kecam GPS adakan pilihan raya

Proses vaksinasi ‘bercelaru’, Ahli Parlimen DAP kecam GPS adakan pilihan raya

Dr Kelvin Yii berkata kerajaan bertanggungjawab sepatutnya menumpukan pemberian dos penggalak di setiap ceruk Sarawak, secepat mungkin.

Penerima vaksin dos penggalak dilihat bersesak di sebuah pusat beli belah di Kuching, hari ini. (Gambar Facebook Kelvin Yii)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang Sarawak mengecam tindakan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana memperuntukkan sumbernya untuk kempen pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) Sarawak, 18 Dis, dan bukannya mengutamakan pemberian vaksin dos penggalak.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, berkata beliau melihat kecelaruan program vaksinasi itu ketika kunjungannya ke Pusat Beli-Belah Spring, malah ada penerima suntikan terpaksa berbaris lebih dua jam sebelum dibenarkan masuk.

Selain itu, penjarakan sosial juga tidak dilakukan dengan baik, katanya dalam hantaran di Facebook.

“Sudah pasti, kita dapat melihat ramai yang bimbang dan tidak selesa. Banyak yang berkongsi kesukaran dan kesusahan dalam mendapatkan dos penggalak.”

Katanya, polis, Persatuan Bulan Sabit Merah dan pegawai RELA sudah melakukan yang terbaik bagi menguruskan situasi yang disifatkannya “sangat mencabar” itu.

“Kita diberitahu sumber daripada Kementerian Kesihatan dan badan berkuasa lain sangat terhad.”

Yii menegaskan, pelaksanaan PRN12 Sarawak ketika ini sangat tidak sesuai apatah lagi dengan kemunculan varian membimbangkan (VOC), Omicron.

Sebagai kerajaan bertanggungjawab, katanya, tumpuan harus diberikan dalam melaksanakan pemberian dos penggalak di setiap ceruk Sarawak, secepat mungkin.

“Sebaliknya, apa yang dibuat kerajaan (bekas) GPS adalah melencongkan kebanyakan sumber yang ada dan menumpukan kepada kempen pilihan raya.”

Yii ketika mengulas lanjut, berkata Sarawak diletakkan dalam Proklamasi Darurat sehingga Feb 2022, justeru pilihan raya boleh dilaksanakan selepas tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, GPS memaksa pengisytiharan Proklamasi Darurat ditamatkan lebih awal walaupun situasi Covid-19 masih berada pada tahap tinggi.

“Tindakan ini langsung tidak bertanggungjawab dan menjelekkan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.