
Dr Lee Boon Chye, yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata, isunya bukan sekadar bilangan, tetapi kekurangan mereka yang mempunyai latihan yang mencukupi.
Pemimpin PKR itu berkata, 3,000 graduan perubatan yang dihasilkan oleh universiti di negara ini tahun lepas sudah melebihi kapasiti KKM untuk diserap ke jawatan tetap.
“Bayangkan jika ini meningkat kepada 4,000 graduan setahun. Terdapat 1,000 hingga 2,000 graduan luar negara pulang ke Malaysia setiap tahun.

“KKM tidak cukup jawatan untuk melatih graduan perubatan baharu. Ia juga tidak mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menyediakan jawatan tetap bagi mereka selepas latihan.
“Pada masa ini, masa menunggu mendapatkan penempatan latihan adalah enam hingga 12 bulan,” katanya.
Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad memberitahu Dewan Rakyat, seramai 2,967 pelajar perubatan telah menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi tahun lepas.
Beliau berkata, sasaran kementeriannya adalah untuk melahirkan 4,000 doktor baharu setiap tahun bagi mencapai nisbah yang disyorkan, iaitu seorang doktor bagi setiap 400 penduduk menjelang 2025.
“Kapasiti semasa pengambilan pelajar perubatan di semua institusi di negara ini adalah seramai 4,820 orang,” tambahnya.
Doktor baharu diletakkan bawah sistem kontrak sejak beberapa tahun lalu, berbanding diserap secara tetap ke dalam perkhidmatan kerajaan.
Baru-baru ini dilaporkan bahawa 1,497 doktor kontrak telah meletak jawatan sejak 2017, termasuk 514 antara Januari dan November tahun ini.
Lee berkata, peletakan jawatan doktor kontrak bermakna negara kehilangan doktor terlatih, malah pakar.
Tambahnya, sebahagian daripada mereka terus meninggalkan bidang itu dan bekerja dan bidang yang tidak berkaitan.
Isu-isu tertunggak seperti kekurangan jawatan tetap dan peluang untuk mengikuti latihan kepakaran adalah punca utama mereka meletak jawatan, katanya.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, terdapat lebihan pengeluaran graduan perubatan, dengan lebih 22,000 doktor dalam kontrak dengan kerajaan.

Dalam kenyataan, Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata, ketidakseimbangan antara pasaran kerja dan aspirasi negara berpunca daripada dasar yang lemah.
Katanya, lebihan doktor kontrak ini adalah kerana program dan institusi pengajian perubatan “tumbuh seperti cendawan” kebelakangan ini, selain institusi luar negara diberi pengiktirafan secara meluas.
“Ini menyebabkan peningkatan dalam bilangan graduan perubatan baharu sehingga KKM tidak mampu menawarkan mereka jawatan yang mencukupi untuk latihan.
“Daripada jumlah 23,000 pegawai perubatan bawah sistem kontrak yang diperkenalkan pada 2016, hanya sekitar 1,000 telah diberi jawatan tetap.
“Perbetulkan kesilapan masa lalu sementara masih dapat berbuat demikian.
“Selesaikan isu ini atau terimalah dilabel gagal oleh rakyat,” katanya kepada kerajaan.