
Presidennya, Soh Thian Lai berkata, terdapat beberapa pelaburan baharu yang masih memerlukan tenaga kerja berkemahiran rendah bagi proses tertentu dalam operasi mereka.
“Majikan dalam sektor pembuatan terus berdepan kesukaran mendapatkan tenaga kerja tempatan bagi mengisi kekurangan dalam kategori pekerja am tidak mahir ekoran pembekuan pengambilan baharu pekerja asing dan industri pula tidak ada pilihan, terpaksa bergantung kepada pekerja asing kerana orang tempatan tidak berminat dalam pekerjaan dan industri tertentu, terutamanya dalam sektor 3D (bahaya, kotor dan susah).
“Langkah jangka pendek ini kritikal kepada kelangsungan hidup perniagaan dan ekonomi,” katanya dalam kenyataan.
Soh berkata, industri bagaimanapun menyedari hakikat dalam tempoh jangka panjang, usaha padu perlu diambil untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Katanya, ia termasuk perubahan dasar struktur yang sebaliknya boleh memberi impak kepada daya saing Malaysia ketika menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, menumpukan teknologi tinggi dan produk serta perkhidmatan tokokan nilai tinggi.
Sektor itu memberi sumbangan besar sebanyak 23% kepada ekonomi Malaysia.
Sektor pembuatan ialah satu-satunya sektor ekonomi mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 3% Bagi suku keempat 2020 dan 6.6% pada suku pertama 2021, mendahului semua sektor ekonomi lain.
Ia meneruskan prestasi positif itu pada suku kedua 2021 dengan pertumbuhan 26.6%, sebelum merekodkan penurunan kecil pada suku ketiga 2021.
Sektor itu memberi sumbangan besar kepada eksport, iaitu 86% daripada jumlah eksport pada 2020 yang bernilai RM847.66 bilion.
Produk elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang bahagian terbesar daripada jumlah eksport Malaysia pada 2020 sebanyak 39.4% atau RM386.11 bilion.