‘Jangan guna taktik cetek pancing undi,’ pemimpin DAP Johor jawab Guan Eng

‘Jangan guna taktik cetek pancing undi,’ pemimpin DAP Johor jawab Guan Eng

Dr Boo Cheng Hau, berkata tujuan kritikannya adalah jangan menggunakan pemakaian untuk mendapatkan kelebihan politik.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mengunjungi sebuah masjid minggu lalu, dalam rakaman video yang dimuat naik di Twitter.
PETALING JAYA:
Pemimpin DAP Johor yang diselar Lim Guan Eng berhubung kritikannya terhadap seorang Ahli Parlimen mengenakan selendang dalam masjid, menjelaskan Setiausaha Agung partinya itu tidak memahami apa yang sebenarnya dimaksudkannya.

Dr Boo Cheng Hau, berkata Lim telah salah faham kandungan dalam perbincangan dalaman itu.

“Isu yang dibangkit oleh saya adalah kita usah menggunakan taktik yang cetek bagi memancing undi,” katanya dalam hantaran di Facebook, sambil menyatakan gimik politik hanya akan memikat sokongan sementara.

Mengulas lanjut, Boo berkata ketika parti kekurangan sumber, Johor DAP, termasuk dirinya, memberikan sumbangan setakat yang mampu kepada sekolah-sekolah vernakular dan sekolah agama.

“Saya tidak pun perlu memakai seumpama ulama atau pakaian Islam untuk mendekati masyarakat Melayu, malahan saya sentiasa membantu mana-mana komuniti … dengan hati yang jujur dan ikhlas, khasnya keperluan sosial dan pendidikan masing-masing.”

Boo yang juga Ahli Jawatankuasa DAP negeri, berkata beliau percaya pihak yang cuma cuba menyedapkan hati golongan tertentu tetapi mengabaikan perasaan dan keperluan kalangan lain, “akan dihina oleh bukan saja bangsa sendiri tetapi juga kehilangan penghormatan oleh bangsa lain.”

Boo mendakwa komuniti Cina “tidak memaafkan” dan “amat kecewa” dengan Lim berhubung isu dana membabitkan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC), ketika Ahli Parlimen Bagan itu menjadi Menteri Kewangan.

Boo berkata, komuniti berkenaan kecewa kerana Lim meletakkan kepentingan kepartian mengatasi peluang pendidikan pelajar terbabit, serta sentiasa tunduk kepada permintaan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, Lim mempertahankan tindakan Hannah Yeoh berselendang ketika melawat sebuah masjid, dengan menyelar kritikan Boo terhadap Ahli Parlimen Segambut tiada beza dengan yang dibuat pemimpin PAS ekstremis dan primitif.

Lim berkata, kritikan yang tidak dapat dijustifikasi oleh seorang pemimpin negeri memberi gambaran buruk terhadap keseluruhan DAP.

Malaysiakini dilaporkan berkata Boo membuat kritikan negatif terhadap Hannah dalam laman sembang kumpulan WhatsApp pemimpin-pemimpin DAP Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.