Buli di kem tentera: ‘Tuan punya badan tak tampil’, kata Hishammuddin

Buli di kem tentera: ‘Tuan punya badan tak tampil’, kata Hishammuddin

Menteri Kanan Pertahanan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu buli membabitkan tentera.

Hishammuddin Hussein berkata, belum ada pihak tampil memberikan maklumat mengenai dakwaan buli yang berlaku di sebuah kem tentera seperti yang tular di media sosial. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Belum ada mana-mana pihak tampil memberikan penjelasan berhubung isu buli yang didakwa berlaku di sebuah kem tentera, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin berkata, beliau bagaimanapun sudah meminta timbalannya, Ikmal Hisham Abdul Aziz, menyiasat sendiri kes berkenaan.

“Tuan punya badan dari posting awal tak tampil. Tapi ada perkara lain dibangkitkan netizen di luar sana dan saya telah minta Timbalan Menteri, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz buat siasatan secara peribadi sendiri.

“Kami tidak akan berkompromi dalam isu buli, tetapi kami juga tidak mahu sebarang dakwaan palsu dibuat terhadap anggota tentera,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya dakwaan terbabit tidak berasas, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan malah rakyat tidak sepatutnya menghakimi dakwaan berkenaan yang disebarkan di media sosial semat-mata.

“Dalam hal ini apa yang dipanjangkan kepada kita akan disiasat. Akan tetapi, jangan kita dakwa mereka yang tidak berdosa dan jangan kita terikut apa yang kita baca di luar sana. Seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dirinya dibuktikan bersalah oleh pihak mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022, di sini.

Semalam, seorang anggota tentera didakwa dipukul “setiap hari” oleh kumpulan “seniornya” di kem tentera, selain dipaksa menghabiskan gajinya membeli barang keperluan untuk mereka.

Abang kepada mangsa berkenaan membuat pendedahan itu di laman media sosial, sekali gus mengundang campur tangan Hishammuddin yang menjanjikan siasatan.

Dalam tangkap layar perbualan mesej yang tular di Twitter, lelaki itu mendakwa adiknya, yang tinggal di kem bujang tentera, dibuli saban hari oleh 12 hingga 14 prajurit “senior”.

“Adik aku…hari-hari kena pukul dengan senior dan habis duit gaji dia kena pau. Sampai duit simpan dia pun dah nak habis. Bayangkan kena belikan barang-barang keperluan yang 12-14 orang tu,” katanya dalam mesej dikongsi bersama pengguna Twitter @Pedoqpop.

Dalam catatan Facebook semalam, Hishammuddin berkongsi tangkap layar ciapan pengguna Twitter @pedoqpop, dan meminta individu itu tampil memberikan maklumat dan berjanji bahawa identiti pemberi maklumat itu akan dirahsiakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.