Memang reputasi sudah tercemar, memoir tak fitnah Najib, kata Thomas

Memang reputasi sudah tercemar, memoir tak fitnah Najib, kata Thomas

Bekas Peguam Negara berkata Najib Razak sudah dikaitkan dengan kes pembunuhan selain skandal berkaitan 1MDB.

Tommy Thomas berkata saman fitnah Najib Razak patut ditolak dengan kos.
PETALING JAYA:
Bekas Peguam Negara Tommy Thomas, yang menghadapi saman fitnah oleh Najib Razak, menegaskan beliau tidak memfitnah bekas Perdana Menteri itu dalam memoir “My Story: Justice in the Wilderness”.

Sebaliknya, Thomas yang kini kembali sebagai pengamal undang-undang berkata, beliau bergantung pada pembelaan ulasan wajar, justifikasi dan perlindungan bersyarat dalam mematahkan saman fitnah difailkan bekas Perdana Menteri itu.

Dalam pernyataan pembelaan difailkan di Mahkamah Tinggi hari ini yang dilihat FMT, Thomas berkata saman Najib wajar ditolak dengan kos kerana bekas Perdana Menteri itu tidak berhak mendapat sebarang relif daripada beliau atau penerbit memoir berkenaan GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd.

Dalam saman difailkan pada 27 Okt lalu, Najib menuntut ganti rugi selain mahu perkataan dan kenyataan yang dianggap memfitnahnya dibuang daripada buku itu.

Najib turut menuntut permohonan maaf daripada Thomas dan Gerakbudaya, selain injunksi kekal supaya mereka tidak menerbitkan apa-apa yang memfitnahnya.

Menurut saman itu, fitnah berkenaan ada dalam Bab 42 bawah tajuk “Altantuya”, dari muka surat 400 hingga 405. Dakwanya, sebilangan besar pembaca mudah saja mengenal pasti Najib sebagai individu dimaksudkan dan dikaitkan dengan pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu.

Katanya, Thomas secara tersirat telah jelas memberikan mesej bahawa Najib terkait dengan bekas polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, yang disabitkan dengan pembunuhan wanita Mongolia itu.

Thomas berkata, penafian Najib berkaitan kematian Altantuya telah diketahui umum malah berada di domain awam untuk beberapa tahun.

“Sejurus akuan berkanun Azilah diterbitkan media pada lewat 2019, plaintif (Najib) mengangkat ‘sumpah laknat’ di Masjid Kampung Baru menafikan telah mengarahkan pembunuhan Altantuya,” katanya.

Selain itu, katanya, tuntutan plaintif melanggar hak Thomas terhadap kebebasan bersuara dan berpendapat di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Thomas menegaskan isi kandungan Bab 42 adalah ulangan apa yang telah dikatakan Azilah dan Sirul dalam dokumen yang difailkan ketika permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan.

Thomas berkata, sebagai Peguam Negara, beliau telah menugaskan seorang Timbalan Kanan Pendakwa Raya untuk menemu bual Sirul, yang ditahan di Pusat Imigresen Villawood di Sydney. Hasil temu bual itu menunjukkan ceritanya sama dengan apa dikatakan oleh Azilah yang kini berada di Penjara Kajang.

Thomas berkata, reputasi Najib tercemar sejak 2007 kerana dikaitkan dengan pembunuhan itu, selain skandal 1MDB yang menerima liputan meluas di dalam dan luar negara. Malah, katanya, Najib telah disabitkan dan dihukum atas tujuh tuduhan rasuah RM42 juta melibatkan SRC International.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.