
“Apabila terdapat perubahan dalam kerajaan, komuniti OKU perlu ‘mendidik semula’ kerajaan mengenai keperluan dan cabaran golongan OKU,” kata Presiden Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia, Murugeswaran Veerasamy.
Beliau berkata kepada FMT bahawa sebarang rancangan untuk golongan OKU terpaksa dimulakan kembali kerana kerajaan baharu tidak akan mengekalkan program yang dilakukan oleh pentadbiran sebelum ini.
Sebagai contoh katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah bersetuju untuk membentuk jawatankuasa Parlimen untuk mempertimbangkan pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) tetapi inisiatif itu diabaikan selepas kejatuhan pentadbiran PH pada Februari 2020.
Murugeswaran berkata, keadaan menjadi lebih buruk sejak pandemik Covid-19 melanda apabila ramai OKU yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan.
Katanya, libat urus dengan golongan itu hanya berorientasikan kebajikan berbanding hak mereka.
“Bantuan wang dan makanan memang bagus tetapi risikonya ialah ia akan menyebabkan golongan ini terlalu bergantung kepada orang lain, bukannya berdikari,” katanya.
Beliau mengakui bahawa golongan itu sememangnya memerlukan bantuan namun terdapat ramai juga yang boleh menyumbang kepada masyarakat dengan cara yang lebih bermakna dan produktif sekiranya diberi peluang.
Sempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa esok, Murugeswaran menggesa kerajaan agar menjauhi pendekatan berasaskan kebajikan semata-mata, sebaliknya mengadakan libat urus dengan OKU untuk memahami keperluan dan cabaran mereka.